Sultan Mizan seru rakyat Terengganu segera daftar diri sebagai penerima vaksin

12/05/2021 09:42 AM

KUALA TERENGGANU, 12 Mei  -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat negeri ini segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Baginda bertitah pengambilan vaksin adalah sangat penting kerana ia sebagai langkah keselamatan untuk keluarga dan masyarakat di negara ini agar dilindungi daripada pandemik tersebut.

“Beta dan Sultanah (Sultanah Nur Zahirah) mengharapkan semoga ia menjadi titik permulaan berakhirnya wabak penyakit ini dan kehidupan akan kembali seperti sedia kala,” titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri yang akan diraikan esok.

Baginda turut menyeru agar seluruh rakyat memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin yang menjadi satu daripada ikhtiar melalui kaedah sains perubatan.

Sultan Mizan turut mengingatkan seluruh rakyat Terengganu supaya bersama-sama menghargai pengorbanan dan perkhidmatan diberikan pelbagai pihak terutamanya petugas barisan hadapan yang bekerja keras membendung wabak COVID-19 sehinggalah kemeriahan Aidilfitri dapat disambut dengan suasana aman, tenteram dan harmoni.

“Beta dan Sultanah menzahirkan penghargaan dan mendoakan segala khidmat bakti mereka diterima dan diberkati oleh Allah di dunia dan di akhirat,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Mizan berharap bersempena Aidilfitri yang disambut dalam suasana norma baharu ini, rakyat dapat meneruskan amalan menjalinkan hubungan silaturrahim dengan memanfaatkan kemudahan media baharu dan elektronik untuk menghubungi kaum keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

Baginda bertitah amalan salam-bersalaman dan ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara boleh diganti dengan bertemu di alam maya dari rumah masing-masing.

“Kerinduan pulang ke kampung halaman untuk bertemu ibu bapa serta ahli keluarga InsyaAllah akan terubat walaupun dapat bertemu dalam talian. Dengan cara ini dapatlah juga kita bertanya khabar dan bermaaf-maafan antara satu sama lain,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Mizan turut menyeru umat Islam untuk terus merealisasikan dan mempraktikkan sifat sabar yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan ini.

“Maka janganlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran yang diterima sepanjang Ramadan dilupakan begitu sahaja. Inilah masa untuk umat Islam mempraktikkan pendidikan Ramadan hingga kembali Ramadan tahun hadapan, agar segala dosa kita dihapuskan Allah,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan