CENTEXS jana RM28,000 melalui program Komuniti Jualan Raikan Raya

12/05/2021 06:23 PM

KUCHING, 12 Mei (Bernama) -- CENTEXS Commercial Sdn Bhd, melalui Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) telah menjana lebih daripada RM28,000 menerusi program Komuniti Jualan Raikan Raya.

Inisiatif khas sempena Hari Raya Aidilfitri itu yang berlangsung dari 1 Mei hingga 12 Mei, 2021, sebanyak 25 usahawan dari negeri itu telah menyertainya, kata syarikat milik kerajaan Sarawak.

"Program itu diadakan bagi membantu masyarakat memasarkan dan menjual produk mereka melalui platform dalam talian CENTEXS Commercial.

"Dengan arahan dan prosedur operasi standard daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pasukan dari CENTEXS Commercial juga menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Shahren Yusri berkata inisiatif itu dibuat untuk membantu usahawan tempatan menjana pendapatan semasa pandemik COVID-19 terutama apabila mereka tidak dapat menjual produk mereka di bazar Ramadan yang diadakan setiap tahun.

"Menerusi penganjuran program ini, usahawan tempatan dapat memperoleh pendapatan sepanjang tempoh pandemik itu dan meringankan beban mereka dengan menjual serta memasarkan produk mereka menggunakan CENTEXS Commercial sebagai platform," katanya.

Shahren berkata inisiatif itu mencerminkan sokongan kukuh oleh kerajaan negeri Sarawak terhadap usahawan tempatan, semua keuntungan yang dihasilkan daripada program ini akan diberikan kepada usahawan yang menyertainya.

CENTEXS Commercial juga menyediakan hamper Raya berharga antara RM100 hingga RM250, ia dibuat dengan produk buatan Sarawak sebagai inisiatif tambahan.

Sementara itu, Heritage Central Gallery milik syarikat itu di Kuching mencatatkan jualan lebih daripada RM84,000 dari Januari hingga Mei tahun ini dengan 72 usahawan menjual lebih daripada 170 produk tempatan.

Menurut Shahren, sejak penubuhan CENTEXS Commercial pada tahun 2019, organisasi itu telah berkembang dan terus komited untuk menjadi platform pengkomersialan utama bagi usahawan tempatan.

"Sehubungan itu, kami meminta usahawan yang berminat memasarkan produk mereka untuk menghubungi CENTEXS Commercial bagi berbincang dengan kami mengenai pengkomersialan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan