Semua pihak perlu ambil tindakan tegas hentikan kekejaman Zionis - Ismail Sabri

13/05/2021 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei  -- Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan seluruh dunia Islam serta badan antarabangsa lain untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.

Beliau berkata isu Palestin adalah melangkaui isu umat Islam dan merupakan isu kemanusiaan sejagat yang perlu diberikan perhatian oleh dunia.

"Kesengsaraan dan penderitaan umat Islam di bumi Palestin perlu dihentikan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan tanpa perikemanusiaan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin khususnya di Masjid al-Aqsa yang dilakukan beberapa hari menjelang 1 Syawal.

Beliau berkata ini bukan kali pertama Israel menyerang Palestin ketika umat Islam berada dalam fasa terakhir Ramadan dan melakukan persiapan untuk menyambut ketibaan Aidilfitri.

Katanya serangan tentera Israel itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan malah mencabuli hak rakyat Palestin yang akhirnya menyaksikan banyak nyawa tidak berdosa termasuk kanak-kanak menjadi korban.

"Saya menyeru seluruh umat Islam khususnya di bumi Malaysia, marilah kita bermunajat kepada Allah SWT untuk kesejahteraan umat Islam di sana dan bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti kepada saudara kita di bumi al-Quds," katanya.

-- BERNAMA 



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan