Pemimpin negara-negara Islam perlu lindungi Palestin - MAPIM

13/05/2021 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei  -- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa semua pemimpin negara-negara Islam bertindak sekarang bagi melindungi serta membebaskan penduduk Palestin dan Baitulmaqdis. 

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata mereka tidak seharusnya berhenti selepas melontarkan kata-kata berbaur kebimbangan dan kecaman terhadap serangan tidak berperikemanusiaan ke atas Baitulmaqdis, Al Aqsa dan Gaza oleh Israel.

“Setiap hari bahkan setiap minit kelewatan anda bertindak bermakna akan terdapat kehilangan nyawa di Gaza serta Tebing Barat dan yang paling teruk ialah martabat Al Aqsa yang suci akan musnah habis,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata selama lebih 70 tahun penduduk Palestin terpaksa berdepan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan dinafikan hak paling asas untuk meneruskan kehidupan. 

Katanya penduduk Palestin telah dilayan seperti penjenayah hanya kerana mereka beragama Islam. 

Mohd Azmi berkata tunjuk perasaan dan kebencian mendalam beberapa cendekiawan bukan Islam serta aktivis hak asasi manusia yang kini menzahirkan keberangan mereka dengan bertindak turun ke jalanan bagi membantah serangan pengecut Israel serta pembunuhan orang awam di Gaza telah memalukan pemimpin negara-negara Islam kerana gagal bertindak. 

Katanya semoga hari pertama pada Syawal ini akan menjadi titik permulaan kepada kebangkitan dan menghidupkan semula semangat Ramadan-Badar umat Islam di seluruh dunia dalam mendepani musuh jahat ummah. 

Ketika dihubungi, beliau turut melahirkan rasa kecewa atas sikap Amerika Syarikat yang menganggap serangan Israel terhadap Gaza sebagai 'hak Israel untuk mempertahankan diri.'

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan