MAIPs arah masjid terus baca Qunut Nazilah selama tujuh hari

14/05/2021 12:38 PM

KANGAR, 14 Mei  -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di negeri ini membaca  Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama tujuh hari berturut-turut, bermula solat Jumaat hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah arahan tersebut mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa pencerobohan dan serangan  tentera Israel  ke atas rakyat Palestin beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.

“Semua masjid di  Perlis diminta agar meneruskan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu selama tujuh hari bermula daripada solat Jumaat hari ini sehingga solat Jumaat pada 21 Mei,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah pencerobohan dan serangan tentera Zionis ke atas masjid yang ketiga paling suci dalam Islam, ketika umat Islam sedang beriktikaf dan bertarawih bagi menghidupkan sepuluh malam  hari terakhir dalam bulan Ramadan itu merupakan tindakan kejam lagi tidak berperikemanusiaan.

“Beta  menyeru kepada seluruh rakyat Perlis tercinta agar turut mendoakan  kesejahteraan dan keselamatan buat saudara kita di Palestin,” katanya.

MAIPS sebelum ini mengarahkan semua masjid di negeri ini membaca  Qunut Nazilah pada rakaat terakhir setiap solat fardu selama dua hari pada 11 dan 12 Mei.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan