Pemberian vaksin lebih meluas dan imuniti kelompok penting kepada pemulihan ekonomi - Moody's Analytics

14/05/2021 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei  -- Pemberian vaksin lebih meluas dan imuniti kelompok akan menjadi kunci kepada pemulihan domestik serta membantu ekonomi melantun semula di tengah-tengah kemunculan varian baharu COVID-19 yang mencetuskan risiko tinggi, kata Ahli Ekonomi Moody’s Analytics Sonia Zhu. 

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku Mac susulan penurunan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

“Meskipun penguncupan perlahan-lahan keluaran dalam negara kasar (KDNK), keadaan dijangka kekal lemah dalam suku akan datang disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zhu, sekatan pergerakan yang berpanjangan akan menjadi situasi sukar untuk didepani terutamanya bagi mereka yang mendapat gaji harian, perniagaan kecil dan keluarga yang berdepan masalah kewangan dengan setiap pelaksanaan PKP.  

Varian COVID-19 yang lebih ganas dan cepat merebak telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan PKP di seluruh negara dari 12 Mei hingga 7 Jun, 2021 bagi membendung lonjakan kes harian baharu.

Selain Malaysia, negara-negara jiran Asia Tenggara lain seperti Singapura dan Indonesia juga berdepan dengan lonjakan jangkitan COVID-19.

PKP 3.0 dikuatkuasakan hanya beberapa hari sebelum berakhirnya Ramadan dengan bazar ramadan dan Aidilfitri terpaksa ditutup oleh kerajaan berikutan risiko tinggi penyebaran komuniti COVID-19.

“Acara sosial, makan di kedai dan perjalanan disekat semasa PKP, menjejaskan industri perkhidmatan seperti makanan, runcit dan hospitaliti. Perbelanjaan isi rumah dijangka merosot pada tempoh tersebut yang biasanya mencapai tahap kemuncak,” katanya.

Oleh itu, katanya, usaha ke arah pemberian vaksin lebih meluas adalah kritikal, sambil menambah ketika ini hanya 3.4 peratus daripada penduduk Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

Beliau berpandangan kadar vaksinasi yang perlahan akan menimbulkan keraguan terhadap keupayaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir 2021, yang seterusnya boleh merisikokan pertumbuhan bagi suku seterusnya. 

Terdahulu awal minggu ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai pertumbuhan KDNK antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan