PGA7 rampas pelbagai barangan bernilai RM4.8 juta menerusi Ops Benteng sejak 17 April

15/05/2021 06:35 PM

PASIR MAS, 15 Mei -- Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.8 juta menerusi Ops Benteng yang dilakukan sejak 17 April lepas hingga kini.

Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supt Azhari Nusi berkata kesemua rampasan itu membabitkan 73 kes dengan penahanan seramai 97 individu.

“Rampasan terbesar membabitkan barangan kontraban seperti pakaian, rokok dan pelbagai barangan makanan bernilai RM2.9 juta dengan penahanan 29 individu,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Setol, Rantau Panjang, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas mercun bernilai RM635,347 dan menahan 12 individu menerusi 14 kes penyeludupan barangan larangan terbabit yang dikesan sepanjang Ramadan.

"Kejayaan yang diperoleh sepanjang Ramadan amat membanggakan walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk meredah hujan dan panas ketika bertugas selain berisiko menghadapi jangkitan COVID-19,” katanya.

Azhari berkata pihaknya mendapati modus operandi pihak terlibat adalah menjalankan kegiatan mereka pada waktu tertentu seperti waktu berbuka dan sahur.

Beliau berkata mereka didapati menjalankan kegiatan secara kecil-kecilan menggunakan kereta dan van berbanding menggunakan lori, selain dikesan menyimpan barang seludup di stor atau rumah sebelum diagihkan.

Katanya PGA7 turut mendapati mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan itu berusia antara 18 dan 65 tahun dan percaya pembabitan mereka berikutan tiada peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jalan paling mudah adalah menjadi 'tonto' atau penyeludup bagaimanapun sebagai agensi penguat kuasa di sempadan negara, tugas mencegah dan membanteras segala bentuk penyeludupan dan jenayah rentas sempadan adalah fokus utama pasukan.

"Pihak PGA tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang kegiatan sedemikian kerana kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan