Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Palestin

15/05/2021 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei -- Berikut adalah teks ucapan Perutusan Khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Palestin yang disiarkan Bernama TV dan stesen penyiaran lain hari ini.

 

Bismillahir Rahmanir Rahim

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

 

Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita telah dapat bersama-sama merayakan Aidilfitri pada tahun ini dengan aman walaupun dalam suasana norma baharu dan cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

Namun, kita di Malaysia berasa amat hiba sekali mengenangkan nasib yang sedang dialami oleh saudara-saudara kita di bumi Palestin. Mereka bukan sahaja terpaksa terus berdepan dengan kehidupan yang amat sukar. Bumi mereka di Baitul Maqdis dan Tebing Barat terus dijajah untuk sekian lama dengan segala bentuk penindasan dan keganasan oleh rejim Zionis Israel.

Rakyat Palestin di Gaza pula terus diserang dengan ganas oleh rejim Zionis Israel ketika umat Islam di sana sedang menunaikan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri. Ini adalah tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan. Bangunan-bangunan kediaman mereka dibom.  Ramai rakyat Palestin yang telah kehilangan nyawa dan cedera.  Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali.

Seperti diketahui umum, rejim Zionis Israel sekali lagi melakukan pencerobohan dan serangan ganas ke atas rakyat Palestin, bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam yang ketiga sejak 7 Mei 2021, diikuti dengan serangan udara tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei 2021.

Malaysia mengikuti rapat perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas saudara kita di Palestin terutamanya serangan-serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel di Semenanjung Gaza serta kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di Tebing Barat.

Sehingga kini, dilaporkan lebih daripada 119 rakyat Palestin telah terkorban dan beratus-ratus lagi cedera, kesan daripada serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel. Serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam apatah lagi ianya berlaku di bulan suci Ramadan yang mulia dan berlanjutan hingga bulan Syawal, taktala umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sesungguhnya, perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan, yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia.

Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi YB Menteri Luar Negeri untuk mengutuk serangan zalim rejim Israel ini pada 8 Mei 2021. Saya sendiri juga telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung situasi yang menyedihkan ini pada 11 Mei 2021.

Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kita kepada Palestin, kita mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

Pada hari ini, saya telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Tuan Yang Terutama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia berhubung situasi terkini di Palestin. Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta-merta. Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

Dalam hal ini Malaysia akan menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

Pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung pada 16 Mei 2021. Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh YB Menteri Luar Negeri untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin.

Saya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya, Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel ke atas Palestin. Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip Kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya sama ada dari segi politik, ekonomi dan moral. Penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa.

Melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020. Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Selain itu, bagi membantu Kerajaan Palestin membendung wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu satu juta pelitup muka, 500 ribu pelindung muka (faceshields) dan 500 ribu sarung tangan getah. Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020.

Bagi tahun 2020, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun 2020. Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978. Sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD600,000 kepada UNRWA.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin. Sehubungan itu, saya menyeru saudara dan saudari sekalian agar memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini. Segala usaha dan sumbangan saudara dan saudari semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin.

Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel.  Semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan