Kematian dicemburui, pengerusi surau rebah ketika solat subuh

16/05/2021 02:14 PM

SEREMBAN, 16 Mei -- Kematian yang dicemburui. Itu yang berlaku kepada seorang warga emas di Surau Taman Kobena, Senawang, di sini, yang disahkan meninggal dunia ketika sedang solat subuh secara berjemaah di surau berkenaan awal pagi tadi.

Ketika kejadian, Mohd Isa Yaacob, 69, yang juga pengerusi surau itu dikatakan tiba-tiba rebah ke kiri, ketika imam sedang membaca surah Al-Fatihah di rakaat kedua sebelum disambut oleh jemaah yang berada di sebelahnya.

Seorang jemaah, Abdul Razak Abdul Rahman, 63, berkata sejurus itu para jemaah terus membaringkan Allahyarham selain turut memberi rawatan pertolongan cemas, bantuan pernafasan (CPR).

“Kami juga turut mengajar mengucap kalimah syahadah, dia memang seorang ahli surau yang baik hati, kami cemburukan pemergiannya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Isteri Allahyarham, Siti Esah Abdullah, 65, berkata arwah yang mempunyai masalah jantung pernah menjalani pembedahan pintasan jantung sebelum ini dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk menjalani rawatan penyakit itu beberapa hari sebelum Ramadan lepas.

Menurutnya, suaminya itu sebelum ini pernah memberitahu keluarganya bahawa Ramadan kali ini mungkin yang terakhir baginya seolah-olah memberi petunjuk bahawa masanya hampir tiba.

Menceritakan keperibadian Allahyarham, Siti Esah berkata arwah yang juga pesara tentera itu seorang yang sentiasa menunaikan solat secara berjemaah sama ada di surau atau masjid selain suka mengaji al-Quran pada masa lapang dan aktif dalam kerja kebajikan di taman perumahannya.

“Saya dan empat orang anak reda dengan pemergiannya, jenazah disolatkan di surau Taman Kobena dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang kira-kira 12 tengah hari tadi,” katanya.

Sementara itu, ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan menyatakan kematian Allahyarham dipercayai disebabkan penyakit jantung.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan