Tiada kerja semasa PKP jadi permulaan kepada KOPI@empat petang

17/05/2021 11:21 AM

Oleh Siti Salwa Shaari

TEMERLOH, 17 Mei -- Kekurangan kerja sebagai pereka grafik pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, menjadi permulaan kepada Akmal Zamri untuk berkongsi minatnya terhadap kopi dengan masyarakat umum, sekali gus menjadi sumber baharu pendapatannya. 

Akmal, 30, berkata proses menghasilkan KOPI@empat petang bermula dengan menyeduh biji kopi bermutu tinggi seawal jam 9 pagi setiap hari dari dapur rumah keluarganya di Taman Temerloh Jaya di sini,  sebelum dihantar terus kepada pelanggan bagi menjamin kesegarannya. 

Walaupun diseduh pagi, Akmal menjelaskan pemilihan 'jenama' KOPI@empat petang adalah sebagai mengingati kenangan beliau dan rakan sekerja di Kuala Lumpur yang gemar keluar 'mengopi' (minum kopi) setiap jam 4 petang.

"Selain itu, kopi ini juga mengambil masa empat minit untuk disediakan termasuk proses menyeduh. Adalah penting untuk memastikan setiap timbangan bahan digunakan serta suhu air tepat supaya kopi yang dihasilkan benar-benar memenuhi cita rasa saya sebelum dijual," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Sebagai anak jati Tok Gajah, Akmal yang merupakan lulusan Universiti Malaya itu tidak lupa untuk memasukkan 'elemen Pahang' dalam kopinya yang membawa kepada penghasilan kopi gula kabung, diperbuat menggunakan manisan air nira pokok kabung. 

Untuk memastikan keaslian gula kabung, Akmal hanya menggunakan gula kabung dari daerah Raub, dibeli daripada individu yang diketahuinya menghasilkan manisan itu secara tradisional dan sifat cerewet itu membawa hasil apabila kopi gula kabung antara kopi paling laris dijualnya. 

Selain gula kabung, pilihan lain yang ditawarkan ialah vanila, salted caramel dan hazelnut yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM8.90 sebotol, dan sempena Ramadan tahun ini, Akmal memperkenalkan kopi perisa kurma yang diperbuat menggunakan pati kurma yang turut dihasilkan sendiri.

"Setiap kopi yang dihasilkan menjalani proses try and error selama lebih dua minggu sebelum saya mendapat rasa diinginkan... perlu banyak 'bermain' dengan biji kopi berbeza dari dalam dan luar negara kerana setiapnya mempunyai rasa tersendiri. 

"Saya cuba untuk mempelbagaikan dan menukar jenis biji kopi setiap beberapa bulan supaya pelanggan tidak jemu dengan rasa yang sama selain berharap mereka dapat menemui rasa kopi yang lebih serasi dengan diri mereka," katanya 

Bukan hanya sekitar Temerloh, KOPI@empat petang telah mula 'menjengah' peminat kopi di bandar utama Semenanjung Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran dengan tempahan dibuat secara dalam talian. Secara purata hampir 20 botol kopi dijual setiap hari. 

Akmal berkata semua kopi yang dihasilkannya boleh bertahan selama lima hari jika disimpan sejuk, namun untuk rasa terbaik beliau menasihatkan pelanggan untuk minum dalam tempoh tiga hari dari tarikh ia diseduh. 

Melihat ketelitian Akmal menyukat bahan dan menyeduh kopi, pasti ramai sukar percaya bahawa beliau tidak pernah mengikuti sebarang kelas sebaliknya semuanya dipelajari sendiri secara tidak formal semasa menikmati minuman itu di pelbagai kafe. 

"Minat minum kopi juga hanya bermula sekitar empat atau lima tahun lalu dan apabila terpilih mengikuti kursus di Indonesia selama setahun pada 2016, saya menggunakan waktu senggang untuk melawat sebanyak mungkin kedai kopi supaya lebih faham dengan minuman itu. 

"Pulang ke Malaysia, saya banyak menjadi sukarelawan di majlis melibatkan kopi seperti pertandingan barista supaya dapat bertanya lebih lanjut dengan mereka yang sudah profesional dalam dunia kopi, selain memberanikan diri menjual kopi di majlis sekitar ibu negara untuk menimba pengalaman," katanya. 

Akmal yang dibantu ahli keluarga setiap kali menerima tempahan yang banyak, juga memasang impian untuk melihat KOPI@empat petang mempunyai kafe sendiri suatu hari nanti bagi menawarkan pengalaman minum kopi sebenar seperti yang dinikmatinya sebelum ini.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan