Iswami, MPI anjur forum media mengenai Palestin pada Selasa

18/05/2021 02:08 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mei  -- Ketika pencerobohan Israel terhadap Palestin semakin meruncing, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) akan mengadakan forum pada Selasa mengenai krisis semasa di Gaza daripada perspektif kewartawanan.

Forum yang diadakan di ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini pada jam 3.30 petang akan menyaksikan penyertaan 15 tetamu media antaranya dari Bosnia dan Herzegovina, Indonesia, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia.

  Presiden Iswami, Abdul Rashid Yusof berkata, forum sepanjang 90 minit yang bertajuk ‘Harnessing 24-Hour Global Journalism on the Palestinian Issue’  antara lain akan melihat bagaimana kewartawanan 24/7 di zon waktu yang berbeza dapat secara kolektif memberikan gambaran lebih luas mengenai krisis Palestin.

Menurut beliau, para tetamu akan memberikan input yang disertakan dengan visual yang juga dapat membantu membentuk pendapat umum mengenai isu Palestin yang telah lama berlarutan serta penyelesaian damai yang sangat diperlukan.

Persidangan ini juga akan mengkaji kemungkinan kerjasama dengan media tempatan di sana untuk pertukaran berita yang memberikan maklumat langsung berdasarkan perspektif Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Abdul Rashid menambah pertukaran berita dapat dicapai melalui saluran keluar yang mudah seperti aplikasi Whatsapp dan akhirnya penubuhan Pusat Media mengenai Palestin.

Antara wakil media Malaysia yang dijangka menyertai forum itu adalah veteran media Tan Sri Johan Jaafar dan Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, bekas Editor Kumpulan Harian Metro Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein.

Wakil asing yang dijangka turut serta ialah Editor Pengurusan Berita Agensi Anadolu Turgut Poyraz, wartawan foto Bosnia-Herzegovina Jasmin Brutus, Pengurus Umum TV / Radio; Liberty Media (Nigeria) Mohammed Shafi'ú Suleiman, pewarta 92 News Pakistan di Malaysia Javaid ur Rehman.

Jumlah kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad meningkat kepada 197 orang, termasuk 58 orang kanak-kanak dan 34 wanita, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. Jumlah yang cedera mencecah 1,235 orang, sementara banyak bangunan telah musnah atau rosak.

Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada bulan Ramadan merebak ke Gaza setelah para pejuang Palestin di sana bertekad untuk membalas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, lokasi Al-Aqsa berada, semasa perang Arab-Israel 1967. Ia menceroboh seluruh kota pada 1980 dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

  

      


PR TVKB NUH

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan