COVID: Trend jangkitan di Labuan berubah dari individu kepada kumpulan

21/05/2021 06:04 PM

LABUAN, 21 Mei -- Trend jangkitan COVID-19 di pulau bebas cukai ini telah berubah dengan ketara daripada individu yang terdedah kepada kumpulan.

Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Labuan Rithuan Ismail berkata ini terbukti daripada peningkatan mendadak jumlah kes positif melibatkan ahli keluarga dan rakan-rakan dalam beberapa hari lalu.

Labuan hari ini mencatatkan 84 kes berbanding 17 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 2,638.

“Kami menjangkakan kes positif akan melonjak secara drastik, dengan saringan besar-besaran ke atas beberapa keluarga oleh petugas kesihatan Labuan.

“Bilangan kes positif (yang dikesan) melalui ujian saringan RTK-Antigen dan polymerase chain reaction (PCR) menunjukkan sejumlah besar membabitkan ahli keluarga dan rakan-rakan yang mengadakan perjumpaan keluarga, ziarah Hari Raya dan mengunjungi bazar Ramadan,” katanya kepada Bernama selepas melawat pusat kuarantin COVID-19 di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah kes positif tertinggi direkodkan daripada ahli keluarga dan rakan rapat dan bukannya pelancong.

Rithuan juga berkata Labuan mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan R-naught (Rt) tertinggi di negara ini dengan 1.43.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan, yang telah ditukar menjadi pusat kuarantin sementara, akan menempatkan hampir 100 individu dalam siasatan (PUI) hari ini, kebanyakan mereka yang dikesan positif melalui ujian RTK-Antigen dan PCR.  

Pusat kuarantin itu mempunyai kapasiti 150 katil dan akan dibahagikan kepada dua bahagian, lelaki dan wanita.

“Pusat kuarantin ini dan satu lagi asrama di Bahagian Teknologi Pendidikan Tinggi (BTPN) di Jalan Sungai Lada adalah untuk pesakit berisiko rendah manakala beberapa blok di Hospital Nukleus Labuan adalah untuk pesakit berisiko tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata pusat kuarantin di asrama BTPN, yang mempunyai kapasiti 80 katil, kini 80 peratus penuh, manakala Hospital Nukleus Labuan telah mencapai kapasiti 120 katil, dengan wad pesakit dan hostel jururawat dijadikan bilik isolasi.

“Buat masa ini, ketiga-tiga pusat ini mempunyai kapasiti antara 300 dan 350 katil untuk PUI. Kami berharap jumlah PUI tidak akan melebihi daripada jumlah itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan