Mohd Poad kagum komitmen tinggi Khairul Hafiz, Muhammad Haiqal

27/05/2021 05:58 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 27 Mei -- Jurulatih Mohd Poad Md Kassim berpuas hati dengan komitmen dan semangat tinggi dipamerkan dua jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi yang kembali menjalani latihan bersamanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, sejak kembali mengikuti sesi latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor pertengahan Ramadan lepas, beliau berkata terdapat beberapa aspek perlu diperbaiki oleh kedua-dua atlet pecut itu terutama membabitkan teknik larian dan pecutan.

“Alhamdulillah, mereka bekerja keras dalam latihan untuk meningkatkan prestasi. InsyaAllah dalam masa dua minggu lagi saya jangka boleh melihat perkembangan yang baik kedua-dua pelari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bulan lepas, Khairul Hafiz, 22, dan Muhammad Haiqal, 21, memutuskan untuk kembali berlatih di bawah Mohd Poad selepas lapan bulan berguru di bawah Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller sejak Ogos lepas.

Mohd Poad mencabar kedua-dua atlet pecut negara itu agar membuat catatan terbaik musim ini pada Kejuaraan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pada 19-20 Jun bagi mencerahkan peluang untuk layak ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada November tahun ini.

Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.18 saat (s) dalam 100m, dijangka beraksi dalam acara 200m manakala Muhammad Haiqal akan turun memperagakan lariannya dalam acara riben biru.

Jurulatih berusia 52 tahun itu berharap kedua-dua atlet di bawah bimbingannya itu dapat menyertai sekurang-kurangnya lima pertandingan kompetitif kerana penting bagi mereka untuk mendapatkan kembali rentak larian yang padu sebelum beraksi di Sukan SEA.

Sementara itu, Mohd Poad mahu menyenaraikan seorang lagi anak didiknya Muhammad Arsyad Md Saat dalam kuartet 4x100m kebangsaan bagi menghadapi saingan di temasya dwitahunan itu.

Muhammad Arsyad, 18, meraih pingat emas acara 100m pada Kejohanan GP Malaysia dengan catatan 10.64s bulan lepas, menewaskan Jonathan Nyepa (Sarawak) yang mencatat 10.70s untuk pingat perak manakala Muhammad Azeem Mohd Fahmi dari Perak memenangi gangsa dengan 10.85s.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan