Tidak mustahil Malaysia capai 26,000 kematian menjelang September - Dr Adham

03/06/2021 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jun -- Malaysia berkemungkinan mencapai 26,000 kematian berkaitan COVID-19 menjelang September ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata walaupun ia berdasarkan satu kajian namun unjuran yang dibuat adalah tidak mustahil. 

Dr Adham berkata demikian pada sidang media khas bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dilapor mendedahkan satu kajian mendapati jumlah kematian berkaitan COVID-19 di negara ini berkemungkinan mencapai 26,000 kes menjelang September.

Menurutnya, anggaran angka itu sekurang-kurangnya sembilan kali ganda daripada jumlah kumulatif kes kematian terkini 2,993 setakat semalam.

Dr Adeeba turut dilaporkan berkata kajian oleh Institute for Health Metric and Evaluatin (IHME) University of Washington itu menganggarkan kadar kematian harian akan mencecah 200 kes menjelang akhir Ogos.

Menurut Dr Adham, kes sporadik COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 60 peratus yang dipengaruhi pergerakan manusia manakala 40 peratus adalah kes kluster.

Beliau berkata antara pencetus kluster dalam komuniti adalah aktiviti membabitkan pelbagai sektor, aktiviti bulan Ramadan dan petugas perkhidmatan kurier kerana golongan ini banyak melakukan pergerakan.

“Virus ikut manusia. Bila manusia bergerak, virus pun ikut,” katanya. 

Sementara itu, Dr Adham berkata sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun mula menunjukkan tanda positif dan selain ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan oleh beberapa kerajaan negeri dan KKM di seluruh negara kini berada pada tahap 100,000 sehari.

Beliau berkata kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berusaha memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 tidak akan berhasil tanpa kebersamaan serta solidariti rakyat dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ini.

“Kita ada peluang untuk menang dan semua pihak perlu membantu dan memainkan peranan mengurangkan tekanan kepada sistem kesihatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan