Sultan Muhammad V sumbang RM1 juta bantu golongan asnaf terkesan PKP

03/06/2021 07:06 PM

KOTA BHARU, 3 Jun -- Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan sumbangan RM1 juta khusus bagi membantu golongan asnaf yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata sumbangan RM1 juta itu menggunakan peruntukan yang disediakan oleh MAIK bagi tujuan program bersama baginda sepanjang Ramadan.

“Menerusi sumbangan yang dikurniakan itu, baginda benar-benar berharap agar ia memberikan kegembiraan kepada asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, baginda bertitah menzahirkan kebimbangan dengan perkembangan semasa pandemik COVID-19 di Kelantan.

“Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila fasiliti kesihatan dilaporkan kritikal dengan pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang mana 17 pusat dibuka di negeri ini,” katanya. 

“Baginda juga mengajak seluruh rakyat terus mendisiplinkan diri dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan pusat mahupun negeri supaya dapat melandaikan keluk jangkitan COVID-19 dan pada masa yang sama tidak berlakunya pertambahan kluster baharu di Kelantan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan