Suami isteri ditahan disyaki dera adik berusia 10 tahun

05/06/2021 10:38 AM

SEREMBAN, 5 Jun  -- Sepasang suami isteri ditahan polis kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Felda Raja Alias 4, Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kedua-duanya ditahan kira-kira 4.10 petang di kediaman mereka selepas polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa merupakan adik berlainan bapa kepada suspek lelaki berumur 34 tahun manakala seorang lagi suspek merupakan kakak ipar mangsa berumur 35 tahun.

“Kanak-kanak itu merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan tinggal bersama kedua-dua suspek selepas kematian ibu bapanya.

“Dalam kejadian semalam, dia dipukul oleh kakak iparnya menggunakan rotan sehingga luka dan berbirat pada bahagian badan kerana mangsa membaling batu ke rumah orang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata kanak-kanak itu juga dipercayai pernah dipukul abangnya menggunakan penyangkut baju kerana disyaki mencuri duit pada Ramadan lepas.

Susulan itu, beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut manakala kedua-dua suspek direman hari ini di Mahkamah Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan