Teruslah derma darah, pastikan bekalan darah sentiasa mencukupi

21/06/2021 02:36 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jun -- Orang ramai di negeri Johor disaran untuk terus menderma darah bagi memastikan bekalan darah sentiasa cukup dan melebihi daripada paras selamat, khususnya ketika mendepani pandemik COVID-19.

Pakar perubatan tranfusi Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dr Mohammad Mizan Gusari berkata, walaupun bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada masa ini berada dalam paras selamat, orang ramai digalak terus menderma darah bagi mengelakkan bekalan turun ke paras rendah.

Beliau berkata sebanyak 260 beg darah diperlukan sehari bagi kegunaan keseluruhan hospital di Johor antaranya untuk kegunaan pesakit kronik seperti buah pinggang, anemia, thalassemia, leukemia dan pesakit yang mengalami pendarahan akibat pembedahan, kemalangan atau tumpah darah semasa proses bersalin.

“Kutipan darah yang menurun sehingga 50 peratus pada bulan Ramadan, kembali meningkat selepas bulan puasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan termasuk menganjurkan kempen derma darah bersama syarikat-syarikat dan hospital swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain turut bekerjasama dengan media, bagi menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai menderma darah semasa pandemik adalah selamat mengikut SOP yang ditetapkan.

“Orang ramai juga kini boleh menderma darah di Johor Bahru ‘Blood Donation Suite’ yang terletak di aras empat Mid Valley Southkey yang baru dibuka 6 Jun setiap hari kecuali Jumaat bermula pada pukul 10 pagi hingga 6.30 petang (waktu semasa PKP - tertakluk kepada sebarang perubahan semasa),” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan