Kecekalan dan cabaran petugas OSCAC kendali 850 orang sehari

22/07/2021 04:11 PM

JOHOR BAHRU, 22 Julai -- Pengalaman mengendalikan sehingga 850 orang sehari tidak kira ketika hujan ataupun panas termasuk ketika sedang berpuasa di bulan Ramadan, adalah antara cabaran dihadapi petugas kesihatan di Pusat Sehenti Penilaian COVID-19 (OSCAC) bagi Zon Pasir Gudang di sini.

Ketua OSCAC Pasir Gudang Dr Rohayah Abdullah berkata meskipun berdepan dengan cabaran getir, petugas OSCAC yang beroperasi di perkarangan Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) tidak pernah mengeluh atau berputus asa, malah tetap menjalankan tugas dengan penuh komited dan berdedikasi.

Beliau berkata jumlah kehadiran sebegitu ramai itu diterima ketika bulan Ramadan dan selepas sambutan Aidilfitri, Mei lepas.

“Petugas memang keletihan dan kekurangan tenaga ketika itu, bayangkan seawal jam 3 pagi sudah ada deretan kenderaan yang menunggu untuk masuk di OSCAC sedangkan perkhidmatan kita bermula pada jam 8 pagi.

“Dengan cuaca panas dan hanya berbumbungkan khemah, ada antara petugas terpaksa ‘mengorbankan’ puasa mereka kerana dehidrasi akibat pakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) terlalu lama.  Ada juga yang terbaring disebabkan terlalu panas sehingga kita suruh buka puasa dan teruskan bekerja,” katanya ketika ditemui Bernama di OSCAC Pasir Gudang, di sini baru-baru ini.

Dr Rohayah, yang juga Ketua Pakar Perubatan Keluarga Negeri Johor berkata, terdapat juga pesakit yang melemparkan kata-kata kesat apabila diminta melakukan ujian calitan atau dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.

“Ada juga yang marah-marah apabila diberi perintah kuarantin dan dipakaikan gelang kerana mereka tidak boleh bekerja atau keluar, namun itu semua tidak melemahkan semangat untuk kita terus menjalankan tugas” katanya.

Beliau berkata, OSCAC Pasir Gudang beroperasi secara pandu lalu setiap hari sejak 31 Jan lepas dengan purata jumlah petugas kesihatan antara 50 dan 60 orang.

Menurutnya, jumlah kehadiran juga telah menurun separuh iaitu kira-kira 350 orang semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 1 Jun lepas dan naik sedikit kepada 400 orang sehari setakat awal bulan ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk terus memberi kerjasama dan sentiasa patuh  prosedur operasi standard (SOP) termasuk datang ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) untuk buat penilaian klinikal jika positif atau lakukan ujian calitan jika kontak rapat.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan