Roti canai terbakar di Gopeng  

04/08/2021 08:31 PM

GOPENG, 4 Ogos -- Juadah sarapan pagi termasuk 400 biji adunan roti canai, antara yang terbakar dalam satu kejadian menimpa sebuah kedai di Kampung Tersusun, Gopeng hari ini.

Pemilik kedai Along Tomyam Sentang Aisyah Azuwa, 38, berkata, kebakaran itu turut menyebabkan kerosakan kepada pinggan mangkuk dan dapur, selain 50 peratus kedainya yang baru sahaja diubahsuai awal April tahun ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, beliau berkata suaminya Ahmad Syarafi Aziz, 32, baru sahaja sampai ke kedai bersama dua orang pekerja mereka untuk berniaga, namun tiba-tiba terdengar satu bunyi letupan yang kemudiannya menyebabkan kedai menjual sarapan pagi itu terbakar.

Jelasnya, mereka sempat melarikan diri sebelum api mula marak dan merebak ke kedai bersebelahan, yang kemudiannya berjaya dipadam bomba dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Adunan roti canai sebanyak 400 biji yang sudah siap hanya tinggal untuk ditebar dan dijual pagi tadi juga turut terbakar. Buat masa sekarang ini saya tidak boleh fikir untuk buat apa, kerana sudah hilang satu-satunya punca pendapatan rezeki bersama suami.

“Tiada apa yang boleh diselamatkan termasuk lesen perniagaan, pinggan mangkuk yang baru saya beli bulan Ramadan lepas, dan duit modal ubah suai kedai juga masih belum dapat pulangan balik. Anggaran kerugian yang saya alami kira-kira RM25,000,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Aisyah yang sudah 20 tahun berniaga di kedai tersebut berkata, ketika kejadian beliau sedang berada di Hospital Pantai, Ipoh bagi mendapatkan rawatan berikutan penyakit batu karang yang sudah dihadapinya sejak 10 tahun yang lalu.

“Saya ditahan di hospital semalam untuk mendapatkan rawatan susulan dan terkejut apabila mendapat panggilan tentang kedai yang terbakar. Saya terus menangis tanpa henti dan meminta izin doktor untuk segera keluar daripada hospital, walaupun saya sepatutnya keluar pada 6 Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi Rahayu Ratjali, 35 berkata api yang marak itu dapat dilihat dari jauh beserta kepulan asap hitam yang besar, sebelum berjaya dipadamkan bomba.

Terdahulu dilapor lima buah kedai di Kampung Tersusun, Gopeng musnah dalam satu kebakaran berlaku awal pagi tadi.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan