Puasa petua dua beradik berusia lebih satu abad kekal sihat

09/09/2021 12:08 PM

MACHANG, 9 Sept -- Amalan berpuasa selama tiga bulan sehingga bulan Ramadan sebagai rutin sejak di usia muda menjadi petua dua beradik, yang sehingga kini kekal sihat walaupun usia mereka telah mencecah lebih satu abad.

Dua beradik berkenaan Munah Yunus, 115 dan Pah Yunus, 111 yang menetap di Kampung Rengas, Tok Bok di sini, bersyukur masih sihat dan dikurniakan usia yang panjang walaupun pergerakan mereka kini agak terbatas.

Bercerita lanjut, Pah berkata pergerakan mereka berdua mula terbatas sejak 10 tahun lalu dan masing-masing kini hanya mampu mengesot, selepas keduanya terjatuh dalam kejadian berasingan sehingga menyebabkan tulang belakang mereka terjejas.

“Alhamdulillah, kami berdua bersyukur diberi usia yang panjang walapun jika hendak diikutkan secara rasmi di kad pengenalan, usia saya yang berdaftar adalah 97 tahun, manakala kakak pula berusia 100 tahun. 

“Namun, mengikut tanda simbol ‘*’ yang diletakkan pada hujung nombor kad pengenalan kami sebenarnya saya telah berusia 111 tahun, manakala kakak pula telah mencecah 115 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini semalam.

Nenek kepada 18 cucu itu berkata beliau mengakui ramai yang bertanya amalan serta petua yang diamalkan ketika usia muda, yang membuatkan mereka masih kekal sihat sehingga sekarang.

Katanya, sejak dahulu lagi beliau serta kakaknya telah mengamalkan untuk berpuasa tiga bulan secara berterusan iaitu pada bulan Rejab, Syaaban dan juga Ramadan, selain turut berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.

“Sehingga kini saya masih mengamalkan berpuasa selama tiga bulan selain puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah ketika berpuasa dan dari segi kesihatan, saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan juga Parkinson.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kakak saya sudah tidak mampu untuk berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan sahaja, kerana mudah mengalami keletihan selain beliau juga sudah nyanyuk,” katanya yang kini menetap di rumah anak masing-masing.

Pah yang turut menzahirkan rasa kebimbangan dengan keadaan wabak COVID-19 di negara ini, beliau berkata dia serta kakaknya tidak melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pada 12 Julai lalu.

“Walaupun kami tergolong dalam golongan warga emas dengan pergerakan agak terhad, namun kami berdua tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan suntikan vaksin kerana khuatir wabak ini mudah menjangkiti golongan seperti kami.

“Syukurlah, kami berdua telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin iaitu dos pertama pada 12 Julai dan dos kedua pada 5 Ogos lalu di pusat pemberian vaksin (PPV) di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong.

“Alhamdulillah, selepas menerima suntikan vaksin saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan, dan kakak pula mengalami demam beberapa hari namun kini telah kembali sihat seperti sedia kala,” katanya. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan