Liga-M: Piala FA kembali, pertukaran waktu sepak mula

12/01/2022 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan -- Liga Malaysia (Liga-M) musim ini akan menyaksikan Piala FA bakal kembali dianjurkan selepas dua tahun dibatalkan akibat pandemik COVID-19, dengan juara kejohanan itu bakal meraih tiket ke Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) bagi 2023.

Bagaimanapun, saingan kalah mati itu tidak akan diadakan menggunakan format timbal balik bagi pusingan suku akhir dan separuh akhir, seperti sebelum ini.

Perlawanan Sumbangsih akan kekal sebagai pembuka tirai liga, namun tidak lagi dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super, dengan juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan bakal bertemu juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC, bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 26 Feb ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Mengikut perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), final Piala FA dijadualkan pada 6 Ogos, manakala perlawanan akhir Piala Malaysia yang menjadi penutup tirai Liga-M, akan diadakan pada 19 Nov.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata, pusingan pertama Liga Super dijadualkan berlangsung bermula 4 Mac hingga 16 Julai, diikuti pusingan kedua bermula 19 Julai hingga 17 Sept, manakala Liga Premier, ditetapkan 5 Mac hingga 28 Mei dan 25 Jun hingga 3 Sept.

Beliau berkata MFL juga telah membuat pertukaran kepada waktu sepak mula Liga Super, dengan perlawanan di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada 7.30 dan 8.15 malam, manakala di Semenanjung bermula pada 8.15 dan 9 malam.

Bagi bulan Ramadan, perlawanan akan bermula pada 9.15 malam di Sabah dan Sarawak, serta 10 malam di Semenanjung.

“Perancangan kalendar Liga-M dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kalendar FIFA dan AFC, serta tempoh kuarantin yang terpaksa dilalui oleh JDT yang beraksi di Liga Juara-juara Asia (ACL), Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City yang beraksi di Piala AFC serta skuad kebangsaan. Kita telah meluangkan 28 hari semata-mata untuk tempoh kuarantin sahaja.

“Pertukaran waktu sepak mula diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan menerusi penyiaran, kehadiran penonton ke stadium dan aktiviti sampingan lain seperti  aktiviti sebelum perlawanan,” katanya ketika taklimat kalendar Liga-M 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Beliau turut berkata saingan liga akan diteruskan ketika kejohanan ACL dan Piala AFC, di mana pasukan yang terlibat akan beraksi pada waktu lain.

Stuart berkata prosedur operasi standard bagi saingan Liga-M musim ini, hanya akan diumumkan selepas mendapat persetujuan kerajaan, dengan perbincangan sedang diadakan buat masa ini.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan