Saingan Liga Hoki Malaysia 2022 bermula 18 Feb

17/01/2022 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan  -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menetapkan tarikh penganjuran Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 bagi kategori lelaki dan wanita, bermula 18 Feb hingga Jun 2022.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata tarikh berakhirnya saingan itu belum diputuskan, kerana jawatankuasa tersebut perlu menunggu pengesahan berhubung jumlah sebenar pasukan yang bakal mengambil bahagian, pada kejohanan tersebut.

Beliau berkata KHM juga akan mempertimbangkan untuk mewujudkan kembali saingan Divisyen Satu, sekiranya badan induk itu menerima jumlah penyertaan pasukan yang tinggi.

“Penganjuran kejohanan pada tahun ini juga akan kembali kepada format liga, iaitu perlawanan akan dijalankan secara timbal balik dan tidak akan dijalankan mengikut formal karnival, seperti tahun lepas.

“Perlawanan Sumbangsih akan berlangsung pada hari pembukaan iaitu 18 Feb di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil dengan Juara 2021 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) akan bertemu Juara Piala TNB 2021 Terengganu Hockey Team (THT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua aksi timbal balik akan berlangsung di Semenanjung, dan Jawatankuasa Kerja LHM 2022 akan melakukan pemeriksaan ke atas beberapa padang hoki yang berpotensi dijadikan sebagai venue perlawanan.

Anil Jeet pada masa sama berkata sebagai menghormati bulan Ramadan, saingan liga akan berehat selama sebulan dan akan bersambung kembali selepas itu.

Sementara itu, beliau memaklumkan pasukan yang mengambil bahagian diberi kebenaran untuk menggunakan khidmat pemain kebangsaan dan pemain import, namun dalam satu perlawanan hanya enam pemain campuran daripada kedua-dua kategori itu dibenarkan untuk berada dalam padang. 

“Pasukan yang ingin mendaftarkan pemain import, perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan kebenaran dan pelepasan bagi pemain tersebut ke Malaysia, untuk menyertai saingan liga,” katanya.

Sebelum ini, saingan liga musim lepas dilangsungkan secara berpusat dan menggunakan format karnival gelembung sukan, ekoran penularan pandemik COVID-19 dengan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita mengambil bahagian.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan