Arulselvaraj senaraikan lima pemain skuad Piala Dunia Remaja

07/02/2022 04:36 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb -- Lima pemain muda yang beraksi di Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 pada hujung tahun lepas antara 28 pemain disenaraikan ketua jurulatih skuad kebangsaan A. Arulselvaraj bagi menghadapi pelbagai kejohanan hoki antarabangsa tahun ini.

Lima pemain berkenaan ialah tonggak pertahanan Muhammad Arif Shafie Ishak, tiga pemain tengah iaitu Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Syarman Mat Tee dan Alfarico Lance Liau Jr serta penyerang, Muhajir Abdu Rauf.

Seorang lagi pemain tengah, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim yang beraksi untuk Pahang pada Piala Tun Abdul Razak 2021 turut berjaya menambat hari barisan kejurulatihan negara bagi penampilan sulung bersama skuad negara dalam perlawanan antarabangsa.

Arulselvaraj berkata prestasi pemain yang disenaraikan itu akan terus dipantau sepanjang kempen Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 bermula 18 Feb hingga 31 Mac ini dan mereka perlu membuktikan kemampuan masing-masing untuk terus kekal dalam pasukan.

“Penilaian pemain tidak hanya tertumpu kepada pemain kebangsaan sahaja tetapi saingan liga ini juga merupakan peluang untuk pemain lain membuktikan diri mereka bagi mencabar tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Saya berpesan kepada pemain bahawa mereka perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada pasukan yang mereka wakili serta prestasi mereka sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Beliau yang menuntut anak buahnya supaya menampilkan aksi lebih baik daripada biasa sepanjang saingan liga berkata pihaknya turut menekankan tahap kecergasan fizikal, ketahanan dan kematangan membuat keputusan di padang.

Arulselvaraj berkata beliau akan meneliti jadual LHM yang akan dikeluarkan nanti untuk menyusun sesi latihan khas buat pemain skuad ‘The Speedy Tigers’ itu dan turut akan memaklumkan perkara tersebut kepada pasukan mereka.

 

Senarai pemain

--------------------

Penjaga gol: Muhammad Hafizuddin Othman, Mohammad Hairi Abdul Rahman, Adrian Andy Albert.

 

Pertahanan: Muhammad Razie Abdul Rahim, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Syafiq Hassan, Muhammad Aminuddin Mohd Zain, Muhammad Arif Shafie Ishak.

 

Tengah: Meor Muhammad Azuan Hassan, Faiz Helmi Jali, Zulpidaus Mizun, Muhammad Firhan Ashaari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Najib Abu Hassan, Faizal Saari, Mohamad Ashran Hamsani, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Syarman Mat Tee, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim, Alfarico Lance Liau JR.

 

Penyerang: Shello Silverius, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, Muhajir Abdu Rauf, Nur Rahull Hrsikesa Mohd Murni.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan