Sisa buangan bahan makanan dijangka meningkat ketika Ramadan - SWCorp

25/03/2022 03:38 PM

SEREMBAN, 25 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menjangkakan berlaku peningkatan jumlah sisa buangan bahan makanan terutama ketika Ramadan yang bakal disambut bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar berkata ia berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan sektor ekonomi boleh beroperasi tanpa sekatan termasuk penganjuran semula bazar Ramadan selepas dua tahun ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya susulan COVID-19.

“Kita pasti ada peningkatan sebab sebelum ini kita terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan, jadi bazar Ramadan pun ada sekatan tertentu termasuk dari segi jumlah gerai dan sebagainya, tahun ini kita boleh buka macam biasa.

"Saya yakin keghairahan orang ramai untuk menyambut bulan puasa dan raya tahun ini sebab dah dua tahun tak dapat, jadi kita lihat kemungkinan pembaziran itu boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas program Blueprint Negeri Sembilan Bersih-SWCorp Bersamamu Nogoriku Rumahku yang dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata SWCorp telah merancang pelbagai kempen dan program kesedaran sempena Ramadan bagi mengelakkan orang ramai membuat pembaziran makanan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur bazar Ramadan.

Beliau berkata sekiranya pembaziran makanan dapat dikurangkan, secara tidak langsung jumlah pelupusan sampah juga dikurangkan lebih-lebih lagi bahan makanan menyumbang kepada 40 peratus daripada keseluruhan sisa buangan di tapak pelupusan sampah di seluruh negara.

Bagaimanapun, Rizalman berkata tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan mengelakkan pembaziran juga sudah semakin baik antara lain menerusi pelbagai kempen kesedaran yang dilaksanakan secara berterusan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pelaksanaan Blueprint Negeri Sembilan Bersih merupakan pengiktirafan sekali gus menzahirkan komitmen dalam memastikan negeri berada pada landasan tepat bagi mencapai Negeri Sembilan bersih dan selesa dilawati pengunjung.

Blueprint Negeri Sembilan bertujuan membawa masyarakat secara bersama mencapai visi menjadikan negeri bersih, indah dan sejahtera melalui beberapa agenda termasuk meningkatkan kualiti pekerja operasi berkemahiran dan penyertaan KITARecycle.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata cadangan untuk menaikkan denda RM500,000 ketika ini kepada RM2 juta terhadap individu yang melepaskan sisa buangan ke perairan daratan dilihat relevan berikutan ia memberi kesan kepada ekosistem dan menjejaskan bekalan air bersih.

“Kita lihat puncanya inginkan keuntungan segera, tak mahu hantar ke pusat pelupusan sebenar sehingga akhirnya air tercemar dan beri kesan bukan sahaja kepada orang tua malah kanak-kanak,” katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan