ProtectHealth laksana vaksinasi di rumah untuk golongan OKU

31/03/2022 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sebagai usaha memperluas akses dan mempercepat kadar vaksinasi, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi program Home Vaccination iaitu vaksinasi di rumah bagi orang kurang upaya (OKU) sejak Jun tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata selain program tersebut, syarikat itu juga telah menjalankan beberapa inisiatif untuk mereka yang memerlukan kemudahan khas seperti vaksinasi menerusi pandu lalu Pusat Pemberian Vaksin (PPV), program vaksinasi jangkau luar serta sentiasa memastikan PPV di bawah ProtectHealth dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU. 

"Perkhidmatan Home Vaccination ini juga adalah inisiatif kerajaan untuk memperluaskan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik  semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022. 

"Selain itu, semua program ini pada mulanya diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehcapaian dan memaksimumkan vaksinasi bagi kumpulan mudah terjejas seperti mereka yang terlantar, termasuk gelandangan, warga asing tanpa kerakyatan, orang asli dan penduduk luar bandar, bagi memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dari mendapatkan vaksinasi COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Protecthealth turut menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan perlindungan diri daripada virus tersebut dengan mendapatkan dos penggalak, terutama menjelang Ramadan tidak lama lagi, menerusi program-program yang disediakan.

Orang awam yang mempunyai tanggungan OKU di rumah yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan dos penggalak boleh menghubungi talian 1700-811-007, 9 pagi hingga 5 petang setiap hari atau WhatsApp 012-6787911.

-- BERNAMA ber

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan