Lima juta pelancong antarabangsa dijangka berkunjung ke Johor

01/04/2022 05:36 PM

KULAI, 1 April (Bernama) -- Seramai lima juta pelancong antarabangsa dijangka berkunjung ke Johor sempena pembukaan semula sempadan negara hingga Disember ini.

Pengarah Tourism Johor Suhairi Hashim berkata daripada jumlah itu, kira-kira satu juta pelancong dari Singapura disasarkan akan berkunjung ke negeri ini sepanjang bulan ini.

“Sehingga hujung tahun ini, kita menyasarkan lima juta pelancong luar akan datang ke Johor dan kadar ini diambil berdasarkan 50 peratus daripada kadar (ketibaan) pelancong pada 2019 yang merekodkan sebanyak 10 juta pelancong dari luar negara.

“Bagi tempoh dua minggu ini pastinya akan dilihat limpahan pelancong dari Singapura yang datang untuk membeli belah khususnya ketika musim Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan penerbangan antarabangsa pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini hari ini. 

Turut hadir menyambut pesawat AK1491 dari Ho Chi Minh (SGN) yang membawa kira-kira 90 penumpang  dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Vietnam itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr R Santhara Kumar.

Menurut Suhairi, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan penggiat industri pengangkutan udara untuk memastikan lebih banyak penerbangan antarabangsa, serantau dan domestik ke Johor.

“Enam bulan ini adalah masa terbaik untuk kita lihat perubahan dari segi kemasukan pelancong ke Johor seperti yang berlaku ketika prapandemik misalnya dari Singapura, Indonesia dan Vietnam.

“Kita juga akan cuba bawa pelancong dari China dan Timur Tengah ke negeri ini yang mana ketika ini kita dalam proses perbincangan bersama syarikat penerbangan negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata pelbagai persediaan telah dilaksanakan untuk merancakkan kembali aktiviti pelancongan di negeri ini termasuk memberi kursus dan latihan kepada penggiat industri khususnya melibatkan sektor inap desa.

“Ini kerana, sebelum ini inap desa agak ketinggalan tetapi untuk tahun ini kita akan cuba promosi lebih banyak kerana Johor mempunyai 27 perkampungan yang akan dimajukan untuk dijadikan projek rintis demi kemajuan sektor inap desa di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Santhara Kumar berkata kehadiran pelancong sempena pembukaan semula sempadan negara bukan sahaja dapat merancakkan sektor pelancongan di Johor, tetapi dilihat dapat membantu ekonomi penduduk setempat.

-- BERNAMA 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan