MAFI sasar 80,000 hektar tanaman jagung bijian menjelang 2033

04/04/2022 02:23 PM

JASIN, 4 April (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan kira-kira 80,000 hektar kawasan seluruh negara akan diusahakan dengan tanaman jagung bijian menjelang 2033 bagi menampung permintaan dalam negara yang kian meningkat sekali gus mengurangkan kebergantungan import dari negara luar.

Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata langkah itu diambil berikutan menyedari permintaan tinggi terhadap komponen makanan haiwan itu selain peningkatan harga mendadak di pasaran dunia sehingga memberi pelbagai kesan termasuk harga ayam semasa.

"Jika dahulu jagung bijian ini kurang mendapat perhatian untuk ditanam kerana harganya yang sangat murah sekitar RM500 untuk satu tan, seterusnya kepada RM900 satu tan dan harganya terus meningkat 110 peratus pada ketika ini iaitu RM1,900 untuk satu tan.

"Penanaman jagung bijian ini juga telah dimulakan di beberapa tempat iaitu kawasan yang bersesuaian, antaranya di Melaka, Perlis dan sebagainya dan pihak kami juga amat mengalu-alukan penyertaan syarikat swasta untuk mengusahakan tanaman jagung ini dalam skala yang besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini ini.

Terdahulu beliau hadir pada program Jualan Kasih Ramadan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) di perkarangan Pejabat Parlimen Jasin di Merlimau di sini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazale Muhamad.

Sempena Jualan Kasih Ramadan itu orang ramai ditawarkan jualan jimat yang menawarkan harga lebih murah dari pasaran iaitu kombo A berharga RM30 bagi pakej berupa beras lima kilogram, seekor ayam, dua paket minyak masak, satu papan telur dan nanas manakala kombo B berharga RM15 bagi pelbagai buah-buahan dan kombo C untuk sayur-sayuran.

Mengulas lanjut Ahmad berkata menerusi Dasar Agromakanan Negara, kementerian juga mengambil langkah sistamatik termasuk menjalankan penyelidikan melalui agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan sebagainya untuk mencari sumber alternatif.

"Seperti kita tahu jagung dan soya antara komponen penting untuk bahan makanan industri ternakan seperti unggas, ayam dan itik selain haiwan ruminan seperti lembu, kambing, kerbau dan sebagainya yang turut bergantung kepada nutrisi ini.

"Antara penyelidikan ditemui penggunaan isirong kelapa sawit (PKC) yang boleh dijadikan makanan alternatif bagi haiwan ternakan itu," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan