MAPIM tawar saringan kesihatan percuma kepada jemaah Masjid Al-Hasanah

10/04/2022 05:29 PM

BANGI, 10 April (Bernama) -- Program Mobile Clinic Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyediakan saringan kesihatan percuma kepada jemaah Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, di sini.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol berkata saringan kesihatan percuma itu adalah sebahagian daripada Program Ihya Ramadan dengan kerjasama pengurusan Masjid Al-Hasanah.

"Sebanyak 70 orang telah datang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan di sini sejak mula beroperasi pada 11 pagi tadi dan berakhir kira-kira 4 petang.

"Dalam program saringan kesihatan hari ini, MAPIM menyediakan dua doktor, dua pembantu perubatan, sebuah bas dua tingkat dan sebuah ambulans untuk memastikan kami dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah di sini," katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata selain saringan kesihatan seperti pemeriksaan gula dalam badan dan tekanan darah, MAPIM turut menyediakan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan.

Seorang jemaah yang ditemui, Mohamad Zin Mohd Supaat, 63, memuji perkhidmatan saringan kesihatan percuma disediakan MAPIM dan berpendapat ia perlu dibuat hebahan lebih awal bagi menarik seberapa ramai orang mendapat manfaat itu.

"Pada saya kalau progam saringan kesihatan ini dapat dibuat lebih awal, dari awal pagi dan iklan mengenainya pun dibuat dalam jangka masa lama, lagi bagus supaya lebih ramai dapat datang. Ini memang satu inisiatif yang baik," katanya.

Mengenai program Ihya Ramadan, Zulhanis berkata program tersebut dimulakan dengan aktiviti qiamulail dan sahur pada 4 pagi tadi, diteruskan dengan kuliah subuh dan kuliah dhuha.

Beliau berkata Program Ihya Ramadan diadakan di Masjid Al Hasanah, selain bermatlamat memberi bantuan kepada mereka yang terjejas terutamanya kepada asnaf, ia juga bertujuan untuk mengimarah masjid serta merapatkan hubungan silaturahim antara MAPIM Malaysia dan golongan asnaf.

"Alhamdulillah, Ramadan kali ini kami mendapat sokongan dalam menyusun pergerakan dan persediaan untuk melakukan program Ihya Ramadan demi membantu masyarakat yang terjejas dari segi kewangan dan tidak dapat meneruskan kelangsungan hidup akibat COVID-19.

"Kami juga telah menyediakan makanan iftar kepada para asnaf, dan insya-Allah program seperti ini  diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sebanyak 500 pek iftar tajaan Mobile Kitchen MAPIM diagihkan kepada golongan asnaf dan jemaah Masjid Al-Hasanah selain menyediakan 2,000 pek bubur lambuk yang diagihkan di perkarangan masjid secara pandu lalu.

Zulhanis berkata pada sebelah malamnya, diadakan program ceramah khas Peduli Ummah, solat terawih dan jamuan moreh.

"Untuk malam ini, MAPIM ada menyediakan hadiah berupa al-Quran eksklusif kepada jemaah yang menyelesaikan solat terawih 20 rakaat," katanya.

MAPIM yang aktif dengan aktiviti kesukarelawanan di Palestin, menyeru rakyat Malaysia untuk turut sama menzahirkan sokongan serta pembelaan terhadap rakyat Palestin dan pembebasan tanah air umat Islam Palestin, agar rakyat Palestin tidak merasa disisihkan.

"Bantu dengan doa dan harta benda. MAPIM Malaysia membuka peluang untuk semua bagi membantu rakyat Palestin. Selain doa, rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kewangan.

"Mereka yang ingin menjadi sebahagian daripada Misi Kemanusiaan MAPIM boleh memberi sumbangan melalui laman https://www.billplz.com/tabungkilatgaza atau menerusi akaun Maybank, 5628 3463 6620 atas nama Dana MAPIM," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan