Masih belum cukup tua, saya masih gagah berpuasa - Mat Sentol

17/04/2022 02:14 PM

JOHOR BAHRU, 17 April (Bernama) -- Pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, bersyukur keadaan kesihatannya masih baik dan mampu berjalan meskipun menggunakan tongkat termasuk ke Bazar Ramadan.

“Masih belum cukup tua, ramai lagi yang tua dan gagah berpuasa. Alhamdulillah saya masih mampu berpuasa," katanya yang kini berusia 89 tahun.

Masih keletah dengan lawak jenakanya yang bersahaja, anak kelahiran Muar ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Menggemari masakan mee siam Singapura, Mat Sentol yang  tinggal berdua dengan anak lelakinya, Roslee Rashid, 60, masih menghabiskan masa lapangnya dengan menulis skrip menggunakan bahasa jawi.

Seniman yang juga pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo itu, masih mempunyai ingatan yang kuat malah bait-bait lagu dan dialog iklan juga masih mampu diingatinya membuktikan kesihatannya yang baik.

Ketika ditanya adakah bersedia untuk kembali berlakon, Mat Sentol secara spontan menjawab "Bila-bila masa," katanya berseloroh sambil disambut ketawa pelawat yang hadir di rumahnya di Larkin, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa di kediamannya, hari ini.

Sementara itu, Annuar Musa berkata aspirasi perjalanan hasil karya Mat Sentol harus dijadikan aset dan panduan kepada generasi muda.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) agar mengambil langkah tertentu untuk  meletakkan kedudukan seniman negara itu di tempat yang sepatutnya.

"Mat Sentol adalah legenda hidup dan wira tidak didendang yang harus kita hargai. Dengan adanya sambutan Hari Seniman setiap 22 Mac, kita harap seniman-seniman seperti Mat Sentol ini dikenang dan dihargai," katanya yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan juga pakaian kepada seniman tersebut.

-- BERNAMA

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan