Industri batik dan songket Terengganu kembali bernafas menjelang Aidilfitri

22/04/2022 11:57 AM

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Usahawan batik dan songket Terengganu kembali menarik nafas lega susulan pelaksanaan fasa peralihan ke endemik yang secara langsung telah meningkatkan tempahan produk mereka, terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Norazizah Kasim, 43, yang mengusahakan batik berkata beliau tidak menang tangan melayan pelanggan yang menempah baju kurung, blaus, seluar palazo, tudung, baju kelawar dan jubah keluaran syarikatnya.

"Alhamdulillah setelah dua tahun suram, jualan kini pulih seperti biasa dan batik tetap menjadi pilihan untuk digayakan pada Aidilfitri nanti, dengan motif lebih menarik, elegan dan eksklusif yang berjaya memikat perhatian pelanggan termasuk orang muda.

"Sejak awal Ramadan saya mula dapat tempahan pelanggan yang mahukan batik menggunakan teknik ikat celup atau tie dye kerana ia tidak lapuk ditelan zaman dan rekaannya pula saya berikan sentuhan eksklusif agar sesuai digayakan di mana sahaja pada bila-bila masa," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi usahawan, Mohd Shawal Awi, 37, berkata batik daripada kain kapas terus menjadi pilihan utama orang ramai pada tahun ini kerana ia adalah trend semasa dan pemakaiannya juga lebih selesa.

"Berbeza dengan tahun 2020 dan 2021, kami tidak banyak menghasilkan batik baharu kerana permintaan turun mendadak kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu. 

"Namun, kali ini banyak sangat tempahan daripada peniaga batik kecil-kecilan hingga tiga pekerja kami terpaksa bekerja lebih masa sejak dua bulan lepas untuk memastikan stok menjelang Aidilfitri mencukupi," katanya yang memfokuskan pengeluaran kemeja dan blaus.

Sementara itu, Che Mustaffa Che Ibrahim, 71, pula berkata jualan songket pada tahun ini sangat memberangsangkan dengan peningkatan hampir 70 peratus berbanding Ramadan tahun lepas.

"Songket yang kami jual adalah buatan tangan yang ditenun anak Terengganu dengan rekaan corak yang sangat eksklusif dan setakat ini telah terjual hampir 200 helai.

"Ramai bakal pengantin, tokoh korporat, pesara kerajaan dan usahawan yang berkunjung ke pusat jualan dan pameran kami untuk membeli songket baharu pada tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan