Agong, Permaisuri berkenan lawat Bazar Ramadan Peringgit

22/04/2022 07:16 PM

MELAKA, 22 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan meluangkan masa melawat serta bermesra dengan peniaga serta orang ramai di Bazar Ramadan Peringgit di sini petang ini. 

Kehadiran baginda bersama dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah itu ternyata menambah keceriaan dan keterujaan orang ramai di bazar berkenaan.

Kunjungan keluarga Diraja sekitar pukul 4.37 petang itu disambut oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Ab Rahman. Turut mengiringi adalah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Datin Seri Munira M.Yusop. 

Dalam lawatan selama hampir satu jam itu, Nasi Beriyani Muar dan kuih keria gula Melaka yang menjadi ikon negeri Melaka menjadi antara juadah pilihan dibeli Baginda Berdua. 

Ketika melawat salah satu gerai murtabak rendang Tunku Azizah sempat bergurau dan memberi tips kepada peniaga berkenaan agar adunan masakannya itu menjadi lebih baik. 

"Ini resepi special kita berdua je ye," gurau baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan membeli juadah berbuka dan bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar.

Sepanjang tempoh di bazar itu, ramai pengunjung dan juga peniaga di Bazar itu tidak melepaskan peluang bertemu dan bergambar untuk merakamkan kenangan indah bersama Baginda Berdua.

Baginda Berdua kemudiannya bergerak ke Masjid  Al-Azim untuk meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai yang memenuhi Dataran Pusat Islam berhampiran masjid itu bagi menanti waktu berbuka puasa.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan