1,700 warga lipis disantuni menerusi Program Ziarah Kasih

23/04/2022 02:50 PM

LIPIS, 23 April (Bernama) -- Seramai 1,700 penduduk dari 72 kampung di Parlimen Lipis menerima bantuan bakul makanan menerusi Program Ziarah Kasih yang dijalankan sepanjang Ramadan ini, membabitkan peruntukan RM170,000.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata program yang diadakan setiap tahun itu dengan kerjasama agensi-agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar, penghulu mukim, ketua kampung dan Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis akan berakhir esok di Merapoh dan Kechau.

"Saya berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada masyarakat setempat terutamanya golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.

"Sebagai umat Islam sudah tentu kita akan menyambutnya sebagai sebuah tanda kemenangan setelah sebulan mengerjakan ibadah puasa pada bulan Ramadan," katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di sini hari ini.

Pada program itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis turut turun padang menyampaikan sumbangan, selain meluangkan masa bertanya khabar penduduk kampung.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memandu di jalan raya supaya selamat tiba di lokasi masing-masing bagi menyambut lebaran.

"Semua pihak sudah tentu merindukan amalan kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara sambil menikmati juadah. Tidak lupa yang berada di perantauan yang akan pulang ke kampung halaman. Berhati-hati buat anak kota yang memandu pulang ke desa," katanya.

-- BERNAMA


 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan