YaPEIM peruntuk hampir RM2 juta santuni asnaf sepanjang Ramadan

25/04/2022 10:20 AM

MARANG, 25 April (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan hampir RM2 juta untuk menyantuni golongan asnaf di seluruh negara pada Ramadan kali ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata sehingga kini hampir 75 peratus daripada peruntukan itu telah diagihkan kepada penerima yang layak iaitu ibu tunggal, anak yatim dan keluarga berpendapatan rendah.

"Kami sampaikan sumbangan ini secara berperingkat di seluruh negara dan agihannya akan selesai dalam minggu terakhir Ramadan ini. Semoga sumbangan ini dapat menceriakan penerima untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 50 ibu tunggal dan anak yatim sempena program Inspirasi Qaseh Ramadan bersama PDRM di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris.

Dalam pada itu, beliau berkata YaPEIM juga menyasarkan untuk membaik pulih 100 unit rumah melalui Program Inspirasiku MyHAUS di seluruh negara pada tahun ini.

"Setakat ini, 36 rumah berjaya disiapkan untuk golongan sasar seperti keluarga B40, ibu tunggal dan anak yatim piatu yang membabitkan peruntukan RM60,000 untuk satu keluarga termasuk beberapa teras program sokongan seperti pembangunan sahsiah diri, pemerkasaan latihan kemahiran, apresiasi dan keusahawanan.

"Kami bekerjasama erat dengan majlis agama Islam negeri-negeri untuk mengenal pasti golongan yang layak menerima manfaat ini agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan," kata Mohd Redza.

Di bawah teras pemerkasaan latihan kemahiran, penerima  dibantu mengikuti kursus bagi meningkatkan kemahiran yang dimiliki mereka seperti kemahiran menjahit, bertukang dan lain-lain kemahiran yang wajar.

Sementara itu Rohaimi memberitahu hanya 320 dari 3,200 pegawai dan anggota polis kontinjen Terengganu dibenarkan bercuti pada satu-satu masa sepanjang musim perayaan Aidilfitri kali ini manakala bakinya akan bertugas seperti biasa.

Katanya cuti anggota akan dilaksanakan secara penggiliran dan terpulang kepada ketua jabatan serta ketua polis daerah untuk mengatur jadual penugasan sepanjang tempoh tersebut.

"Pemantauan sepanjang Aidilfitri akan dijalankan dengan lebih kerap terutama pada malam raya di lokasi yang telah dikenal pasti menjadi tumpuan ramai seperti dataran Jambatan Angkat dan Pantai Batu Buruk," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang ingin pulang berhari raya di kampung juga dinasihatkan agar memaklumkan kepada balai polis terdekat bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan