Rabies: Rakyat Perak tinggal di sempadan Selangor diminta berhati-hati

25/04/2022 02:53 PM

SELAMA, 25 April (Bernama) -- Rakyat Perak yang tinggal bersempadan dengan Selangor dinasihatkan supaya berhati-hati dengan penyakit rabies yang dilaporkan berlaku di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata mereka juga hendaklah melaporkan sekiranya mengalami simptom penyakit itu bagi membolehkan langkah pengawalan diambil.

“Mereka yang dijangkiti penyakit itu perlu mendapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan berdekatan kerana ia boleh membawa maut.

“Setakat ini saya tidak mendapat maklumat mengenai penyakit itu di negeri ini,” katanya kepada Bernama pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ramadan - Aktiviti Menyantuni Anak-Anak Yatim/Rumah Orang Tua dan Asnaf sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia 2022 peringkat negeri di Pusat Pengajian Tahfiz Nur as-Salam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemakluman Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bahawa seorang lagi lelaki warga emas disahkan dijangkiti rabies di Daerah Kuala Langat pada 22 April lepas, menjadikan kes kedua di negeri itu setakat ini.

Pada program itu, seramai 200 anak yatim dan asnaf menerima bantuan barangan dan wang tunai bagi menyambut Aidilfitri.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan