Klip video raya: Aliff Syukri beri keterangan hampir lima jam di MCMC

26/04/2022 04:29 PM

CYBERJAYA, 26 April (Bernama) -- Usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman hari ini memberi keterangan hampir lima jam di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di sini berhubung klip video muzik sempena Aidilfitri yang dikatakan kontroversi.

Beliau dengan memakai kot kelabu serta berseluar hitam tiba di MCMC pada pukul 9.58 pagi dan keluar pada pukul 2.41 tengah hari.

Ditemui pemberita usai memberi keterangan, Aliff Syukri memohon kemaafan daripada masyarakat yang tersinggung dengan video berkenaan dan meminta supaya tidak melibatkan keluarganya dalam perkara itu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terima kasih kepada MCMC kerana memberi layanan yang baik. Saya mohon maaf kepada semua masyarakat yang tersinggung dengan lagu dan video saya," katanya.

Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata MCMC telah memberi notis kepada individu yang dikenal pasti dalam video berkenaan untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

Menurut Annuar, penelitian peringkat awalan MCMC mendapati ada sebab untuk siasatan dilaksanakan dan susulan itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan