Lebih 63,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf terima bantuan Ramadan, Aidilfitri

26/04/2022 09:06 PM

SHAH ALAM, 26 April (Bernama) -- Lebih 63,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor setakat ini telah menerima bantuan zakat Ramadan dan Hari Raya dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM28.7 juta bermula 29 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan itu melibatkan 18,689 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah agihan zakat kira-kira RM9 juta.

“Seramai 40,044 ketua keluarga asnaf miskin telah menerima agihan zakat sebanyak RM18.3 juta dan 4,268 orang mualaf RM1.3 juta. 

“Setiap keluarga akan menerima agihan minimum RM300 dan maksimum RM1,000 bergantung atas jumlah isi rumah masing-masing,” katanya semasa berucap di Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan 2022.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor Tan Sri Ambrin Buang.

Mohd Sabirin berkata LZS pada bulan Ramadan ini menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM155 juta dan fitrah RM35 juta sementara RM22.8 juta disasarkan untuk kutipan zakat perniagaan.

Sementara itu beliau berkata pihaknya turut mengagihkan sumbangan zakat RM1.2 juta pada program hari ini, melibatkan bantuan alat perubatan untuk masalah paru-paru, dan sumbangan agihan pembangunan Aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (Ibadah dan Akidah) bagi Keperluan Orang Kelainan Upaya Pendengaran sebanyak RM181,800 kepada Institut Latihan Islam Malaysia.

“Melalui agihan itu, LZS turut menyampaikan agihan bagi sanitasi masjid dan surau di Selangor kepada Jabatan Agama Islam Selangor, dan alat bantuan belajar berupa komputer riba kepada  pelajar terpilih yang sedang mengikuti pelajaran di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Terdahulu LZS hari ini menerima RM 3.5 juta zakat perniagaan daripada 43 buah syarikat.

-- BERNAMA

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan