Kerajaan Kelantan peruntuk lebih RM20 juta untuk bantu golongan asnaf - Exco

27/04/2022 09:33 AM

KOTA BHARU, 27 April (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM20 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf di Kelantan sepanjang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi berkata peruntukan itu merangkumi sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal, fakir miskin dan juga bantuan am.

Beliau berkata agihan berkenaan melibatkan 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dengan RM120,000 akan diagihkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing.

“Selain peruntukan itu, menerusi bantuan am yang diberikan secara bulanan ia juga akan membabitkan seramai 300 penerima bagi setiap DUN meliputi bantuan makanan dan bantuan kewangan yang merekodkan kos keseluruhan bernilai RM12,000.

“Untuk penerima bantuan am ini, kita lihat ia semakin bertambah dari semasa ke semasa dan sehingga kini ia telah mencecah hampir 8,000 penerima. Oleh itu, kita berharap dengan adanya pelbagai bantuan daripada kerajaan negeri ini ia dapat meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Agihan Zakat Ramadan 2022 dekat Peringat, di sini semalam, dengan mengagihkan zakat sumbangan Yayasan Amal Datuk Zul kepada 320 penerima golongan asnaf membabitkan bantuan sekitar RM200 hingga RM600 bagi seorang penerima.

Mengulas lanjut, Mumtaz berkata selain bantuan kerajaan negeri kepada golongan asnaf, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) juga giat membantu mengagihkan wang zakat kepada golongan berkenaan.

Katanya, setakat ini MAIK telah merekodkan lebih RM70 juta kutipan zakat dan sehingga semalam hampir RM60 juta wang zakat telah diagihkan kepada golongan asnaf yang layak menerima.

“Kita mengharapkan lebih ramai masyarakat dapat mengeluarkan zakat terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadan ini. Malah, MAIK juga tidak akan menyimpan wang zakat yang diperoleh dan akan mengagihkan secara terus kepada asnaf yang telah disenaraikan.

“Saya juga ingin menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan menerusi saluran yang sahih seperti MAIK dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkredibiliti. Kita tidak mahu wang diagihkan secara membuta tuli tanpa tapisan (selidik) penerima bantuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan