Tart gulung tanpa inti dapat permintaan tinggi

27/04/2022 10:17 AM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Penggunaan nama yang kreatif ‘Tart-de Inti’ atau tart tiada inti, menyumbang kepada promosi kuih raya itu yang meraih permintaan tinggi dalam musim perayaan ini.

Pengusahanya Aida Balqis Zafrul Azmi, 26, mencipta kelainan apabila kuih tart yang biasanya mengandungi inti berupa jem nanas atau coklat, hanya berintikan adunan tepung

“Pada mulanya, seorang pelanggan meminta saya membuat tart tanpa jem untuknya dan saya cuba menjual kuih itu kepada pelanggan lain, tak sangka ia mendapat sambutan.

“Saya cuma menguji (penerimaan) pasaran tahun lepas dan mula mengambil pesanan dalam talian untuk tart tersebut,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Aida Balqis yang menjalankan perniagaan itu menerusi Shopee (@cactibyda) berkata kebanyakan pembeli Tart-de Inti menyukai tekstur kuih itu yang lembut dengan kelazatan rasa mentega dan tidak perlu lagi ‘bersusah-payah’ membuang intinya.

Beliau berkata perniagaannya itu mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila lebih 200 pesanan diterima dalam masa dua hari ia viral di media sosial pada awal Ramadan ini.

“Saya telah berhenti mengambil pesanan buat masa ini susulan pesanan yang tinggi untuk raya tetapi saya akan terus menambah stok tart tersebut di Shopee selepas Syawal.

“Saya mampu menghasilkan 20 balang (kira-kira 27 keping sebalang) sehari dan pastinya saya mempunyai beberapa rancangan untuk mengembangkan perniagaan ini, namun buat masa ini, saya tidak mempunyai cukup pekerja untuk membuat kuih dan membungkus produk bagi memastikan kepuasan pembeli,” katanya yang juga dibantu ibunya. 

Berpusat di Semenyih, Selangor, Aida Balqis menguruskan perniagaan itu sendiri selepas beliau mengambil alih perniagaan itu daripada ibunya dua tahun lepas dan mula menjual kuih tart menerusi Shopee ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac 2020.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan