40,000 sisa domestik pada Ramadan tahun ini, tertinggi sejak 2019 - Alam Flora

27/04/2022 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Sebanyak 40,000 tan metrik sisa domestik dikutip di bandar raya ini setakat hari ke-20 Ramadan tahun ini, meningkat berbanding 32,000 tan metrik tahun lepas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) Datuk Mohd Zain Hassan berkata kutipan tahun ini adalah yang tertinggi bagi tempoh empat tahun sejak 2019 dan ia adalah dijangka berikutan Bazar Ramadan beroperasi seperti biasa seterusnya menerima lebih ramai pengunjung. 

"Kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur tahun lalu adalah 32,000 tan metrik, 2020 (27,000) dan pada 2019 jumlahnya adalah 33,000 tan metrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zain menarik perhatian apabila berkata makanan yang tidak dihabiskan atau tidak disentuh termasuk bahan pembungkus seperti beg plastik sekali guna antara penyumbang utama peningkatan jumlah sisa pepejal di Kuala Lumpur tahun ini. 

Beliau berkata penjanaan sisa pepejal dijangka berterusan dan meningkat sehingga minggu pertama Aidilfitri kerana kebanyakan sektor telah dibenarkan beroperasi.

Walaupun peningkatan itu membimbangkan, Mohd Zain berkata Alam Flora sentiasa memastikan kutipan sisa domestik mengikut jadual ditetapkan dan kebersihan awam terus terpelihara dengan beroperasi seperti biasa pada hari pertama Aidilfitri.

"Kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing. Sebagai contoh, sisa kitar semula hendaklah diasingkan, diikat dengan kemas dalam beg plastik sesuai dan diletakkan di tepi tong selaras dengan program pengasingan sisa dari punca oleh kerajaan," katanya. 

Katanya Alam Flora memohon kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing-masing agar tindakan susulan boleh diambil. 

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan