Pertandingan hias panjut pelita meriahkan Ramadan, Syawal warga UiTM Melaka

27/04/2022 11:26 PM

ALOR GAJAH, 27 April (Bernama) -- Kira-kira 640 pelita digunakan bagi menghiasi 16 panjut buluh berkonsepkan rumah Melayu lama pada pertandingan dekorasi sempena program Malam Pelita Tujuh Likur anjuran Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka. 

Ketua projek yang juga pensyarah Seni Reka Perindustrian Ahmad Faiz Anuar berkata program itu bagi memeriahkan suasana dan meraikan budaya serta tradisi masyarakat Melayu turun-temurun menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Sejak sekian lama aktiviti memasang panjut ini diadakan setiap tahun di KPSK yang dahulunya dikenali sebagai Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) namun selepas dua tahun pandemik COVID-19 melanda, ia diadakan semula selain memberi peluang kepada para pelajar yang pertama kali hadir ke sesi pembelajaran secara bersemuka untuk merasai pengalaman seumpama ini.

"Program ini diharap dapat menguji kreativiti dan inovasi pelajar dengan mempamerkan pelbagai reka bentuk panjut menggunakan buluh yang dihiasi dengan pelita di samping mengeratkan silaturahim dan membentuk kesepaduan, berganding bahu menyiapkan hiasan itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Faiz berkata pertandingan hiasan berkonsepkan rumah Melayu lama itu bagi membangkitkan nostalgia dengan disertai pelajar daripada Jabatan Seni Halus, Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif, Jabatan Seni Reka Perindustrian serta Jabatan Seni Reka Grafik dan Media Digital.

Seorang pelajar, Muhammad Haikal Ikhtiaruddin Mohd Mazlishama,19, yang berasal dari Johor berkata aktiviti seumpama itu merupakan satu pengalaman baharu dan menyeronokkan di samping mempelajari cara pemasangan panjut buluh.

Nur Azmina Azhar, 20, dari Negeri Sembilan pula berkata tradisi pemasangan panjut sewajarnya diwarisi generasi muda bagi memastikan budaya itu tidak ditelan zaman dalam memeriahkan suasana Ramadan dan Syawal yang dilihat menyemai sikap kerjasama dan gotong-royong.

Pada program itu 25 pelajar kurang berkemampuan turut menerima bantuan zakat daripada UiTM manakala 20 pekerja pembantu kebersihan kampus menerima sumbangan Gerobok Kasih, hasil inisiatif 'Geng Ngaji' Srikandi yang disampaikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka Datuk Dr Mohd Nor Hajar Hasrol Jono dan turut dihadiri Ketua KPSK Dr Nadzri Mohd Sharif.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan