Selangor catat purata 5 kes kebakaran rumah sehari sepanjang Ramadan - Bomba

28/04/2022 01:21 PM

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Selangor merekodkan purata lima kes kebakaran rumah sehari sejak awal Ramadan ini, yang dipercayai berlaku atas faktor kecuaian dan kejadian litar pintas, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakan kes kebakaran di rumah berlaku, kerana penghuninya terlupa untuk menutup api dapur gas selepas memasak dan ketika memanaskan semula makanan, serta tidak menutup suis peralatan elektrik selepas digunakan.

“Jadi saya ingin menasihatkan masyarakat sebelum balik kampung untuk berhari raya nanti, pastikan punca-punca elektrik dimatikan, kerana kadang-kadang kita terlupa ada peralatan elektrik yang sentiasa diletakkan di dalam mod sedia,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Musim Perayaan, di sini hari ini.

Selain itu beliau menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati menggunakan lampu-lampu hiasan raya memandangkan terdapat lampu yang dijual di pasaran tidak mendapat kelulusan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd. (SIRIM).

Dalam pada itu, Norazam berkata hanya seramai 20 peratus daripada lebih 1,600 pegawai dan anggota Bomba di Selangor dibenarkan bercuti pada musim Hari Raya Aidilfitri ini.

“Untuk musim perayaan kali ini, kita memberi tumpuan kepada sembilan kawasan ‘hot spot’ di Selangor yang sering berlaku kemalangan dan juga meminta semua balai-balai untuk melakukan rondaan bagi memberikan bantuan seawal mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan