Lelaki didakwa tipu sewa tapak bazar Ramadan babit kerugian RM10,800

11/05/2022 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di lima Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu dalam urusan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil dan tapak bazar yang tidak wujud membabitkan wang berjumlah RM10,800.

Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusoff, 20, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki dan empat wanita berusia antara 24 hingga 35 tahun dengan memperdaya mereka dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar berkenaan sehingga mendorong mereka menyerahkan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Cheras, Puchong dan Bukit Jalil di sini, antara 7 Feb hingga 30 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi,  G. Phulrani Kaur dan Nadia Eleena Jamaluddin Akbal masing-masing mencadangkan jaminan RM7,000 dan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Mu’az Al-Awwal Mohamad Zafarullah yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya yatim piatu dan dijaga oleh keluarga angkat selain tiada sumber kewangan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,700 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan sebutan kes ditetapkan pada 13 Jun serta 4 dan 26 Julai ini.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan