Pan Gon teruja uji 'senjata baharu' esok

26/05/2022 03:35 PM

PETALING JAYA, 26 Mei (Bernama) -- Pengendali skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon tidak sabar untuk menguji keberkesanan ‘senjata baharu’ pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Beliau berkata pelbagai input dan maklumat sudah dicurahkan terutama berkaitan formasi baharu yang diterapkan kepada anak buahnya sejak kem latihan pusat bermula Khamis lepas.

“Saya berpuas hati kerana pemain menerima dengan baik senjata baharu itu.

“Jika pemain menunjukkan hasil positif esok, kita boleh bermain (senjata baharu) dari semasa ke semasa supaya pasukan mempunyai banyak pendekatan dan menyukarkan pasukan lawan untuk menganalisis permainan kita,” katanya pada sidang media praperlawanan persahabatan itu di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun pemain dilihat mengalami keletihan namun berbangga serta berpuas hati kerana anak buahnya tidak mengeluh sebaliknya bersemangat dan jurulatih dari Korea Selatan itu teruja untuk melihat hasilnya esok.

Menyedari bahawa peminat bola sepak mahukan kemenangan, Pan Gon berharap anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik, kesungguhan, sikap dan tenaga positif dalam setiap perlawanan diharungi mereka.

"Kita perlu mengubah dan membina perkara terbaik untuk peminat serta tahu apa yang mereka mahu… Saya tidak boleh memberikan kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi kita akan menunjukkan kesungguhan, semangat, dinamik, agresif atau menguasai permainan dan sekurang-kurangnya buat mereka bangga dengan semangat ini, bersatu dan berjuang untuk bola sepak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Brunei Rosanan Samak berkata mereka telah membuat persiapan rapi untuk bertemu Malaysia sejak Ramadan lepas selepas lebih setahun tanpa aksi kompetitif di peringkat antarabangsa susulan kawalan ketat dikenakan oleh pihak berkuasa di negara itu dalam mengekang ancaman wabak COVID-19.

Bagaimanapun, Rosanan berjanji akan memastikan anak buahnya memberi tentangan sengit ketika menentang Malaysia esok.

Selain Brunei, Malaysia dijadual berdepan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan pada 1 Jun sebelum berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam Kumpulan E, kempen kelayakan Piala Asia 2023.

-- BERNAMA

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan