Kukuhkan Perpaduan, Raikan Perbezaan

20/07/2022 08:35 AM

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Malaysia ternyata sebuah negara yang unik dan istimewa.

Memiliki kepelbagaian termasuk kaum, agama, budaya dan bahasa, pastinya satu cabaran besar untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sepanjang masa hidup dengan penuh harmoni.

Namun ini tidak bermakna rakyat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India tidak berupaya untuk mencari titik persamaan dalam kalangan mereka. Begitu juga jalinan kemesraan dengan kumpulan etnik lain. 

Bahkan boleh dikatakan rakyat Malaysia sangat bertuah kerana masih dapat menyantuni perbezaan kepelbagaian sejak negara mengibarkan bendera kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.


The Merdeka Day celebration should be appreciated by all Malaysians. --fotoBERNAMA (2022) ALL COPYRIGHT RESERVED

Kesepaduan masyarakat majmuk di negara ini diperkukuhkan dengan semangat Keluarga Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 23 Oktober 2021.

Ketika berucap di majlis pelancaran Keluarga Malaysia itu, beliau menegaskan bahawa “Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga. ”

 

RAKYAT MALAYSIA UNIK


Chong Choon Hau, also went down to the field to help the flood victims. Photo credit Chong Choon Hau

Bagi aktivis masyarakat, Chong Choon Hau, 37, hidup dalam kalangan masyarakat silang budaya dan etnik memberi ‘warna’ dan menonjolkan keunikan tersendiri rakyat Malaysia .

Beliau berkata, agenda dan dasar kerajaan yang mahukan perpaduan dalam kalangan masyarakat terus terpelihara menjadi kunci keamanan negara dapat dikekalkan sehingga ke hari ini.

“Seperti saya, walaupun saya orang Cina tetapi majoriti rakan saya orang Melayu selain Cina, India dan kaum lain.

“Saya juga membesar dalam suasana di kelilingi kaum lain, dan saya selesa berkawan dengan mereka,’’ kata anak jati Temerloh, Pahang ini.

Chong atau mesra disapa Ah Hau yang menjadi aktivis dan sukarelawan sejak tahun 2009 berkata, beliau turut berbangga kerana mempunyai rakan daripada pelbagai latar belakang yang tidak lokek menghulurkan tangan di saat dirinya memerlukan bantuan untuk menyempurnakan kerja sukarelawannya.

Menurut beliau, rakan turut menjadi tulang belakang apabila beliau turun padang dalam setiap misi bantuan yang disertainya.

“Ada misi bantuan yang saya gerakkan sendiri. Contohnya, ketika membantu mangsa banjir di sekitar Pahang atau negeri lain termasuk Kelantan, saya tidak akan risau bagaimana untuk mendapatkan bantuan kerana saya dikelilingi rakan yang sentiasa berlapang dada untuk membantu saya.

“Mereka ini bukan sahaja akan menghulurkan bantuan daripada segi kewangan malah juga tenaga... pembabitan mereka banyak memudahkan kerja kesukarelawanan saya,’’ katanya sambil menambah, beliau tidak pernah membezakan kaum, agama mahupun latar belakang individu dalam menyalurkan bantuan.

 “Ada juga suara yang tidak senang dengan tindakan saya sehingga  mempersoalkan kenapa perlu saya salurkan bantuan, kerajaankan ada biarlah kerajaan yang tolong.

“Tetapi bagi saya, selagi ada kudrat kenapa bukan kita yang ke depan, jika semua harapkan kerajaan jadi apa pula tugas kita sebagai anggota masyarakat,’’ katanya.

 

KUKUH PERPADUAN


Community activist Chong Choon Hau, teaches Mandarin to Malay students at a school in Lanchang, Pahang. Photo credit Chong Choon Hau

Tidak hanya terhad membantu golongan susah dan memerlukan, Chong turut berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah di Lancang, Pahang. Beliau mengajar bahasa Mandarin untuk pelajar Melayu di sekolah berkenaan.

“Ia bermula  dua tahun lepas apabila ada seorang guru sekolah itu datang kepada saya dan bertanya sama ada saya mahu mengajar bahasa Mandarin.

“Saya tidak berfikir panjang kerana bagi saya perkara yang baik. Banyak kelebihan apabila kita boleh memahami bahasa kaum lain…saya sendiri ambil inisiatif mempelajari bahasa dan budaya kaum lain. Contohnya, saya turut sama meraikan bulan Ramadan dengan mengagihkan bubur lambuk kepada orang Melayu di kawasan saya,’’ katanya.

Bagi Chong, demi memelihara keamanan negara, semangat perpaduan dalam kalangan rakyat  perlu kekal utuh seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’.

“Kita kena pegang pada pepatah orang lama ‘bersatu teguh bercerai roboh’  dan sematkan dalam jiwa…itulah sebenarnya kunci keamanan negara,’’ katanya.

 

KEKELUARGAAN DAN KASIH SAYANG


Siti Hajar Md Hanif with her in -laws. Photo credit Siti Hajar Md Hanif

Bagi Dr Siti Hajar Md Hanif, 36, pula, semangat kekeluargaan dan kasih sayang perlu disemai bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

Mengambil contoh dirinya sendiri yang berkahwin dengan lelaki Cina, Siti Hajar mengakui dapat belajar berbagai bahasa dan budaya yang memberi kelebihan kepada dirinya.

“Bapa mentua saya orang Cina dan beragama Kristian manakala ibu mentua pula orang India dan beragama Hindu…apabila kita faham budaya dan agama masing-masing, tiada masalah dan ia menjadikan hubungan kami lebih akrab.

“Kita perlu belajar menerima budaya orang lain selagi tidak melanggar hukum agama dan pada masa hormatlah antara satu sama lain,’’ katanya yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Selangor.

Sebelum ini, kisah keluarga Dr Siti Hajar mendapat perhatian apabila pada April lepas, beliau memuat naik klip video menerusi akaun Tik Tok miliknya, mengenai ibu mentuanya yang sudi memasak juadah berbuka puasa walaupun wanita itu tidak berpuasa.

Perkongsian klip video itu meraih 1.3 juta tontonan dan warga net turut meluahkan rasa gembira dan bersyukur melihat hubungan akrab Dr Siti Hajar dan ibu mentuanya meskipun berbeza agama.

“Ketika itu saya sedang hamil anak ketiga dan mengidam untuk makan nasi tomato ketika berbuka puasa, hasrat itu saya luahkan pada ibu (mentua) dan beliau segera sediakan nasi tomato untuk saya,’’ katanya.

 

RAIKAN PERBEZAAN


Siti Hajar Md Hanif with her in -laws. Photo credit Siti Hajar Md Hanif

Kongsi ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, berkahwin campur turut mendedahkannya kepada pengalaman baharu termasuk meraikan perayaan yang berbeza selain dapat berkomunikasi lebih daripada satu bahasa.

“Bahasa pertuturan sebahagian besarnya bahasa Inggeris, Hakka dan Bahasa Melayu. Bahasa lain yang diajar di rumah adalah Mandarin dan Tamil.

“Tamil lebih banyak digunakan apabila anak-anak saya bersama nenek mereka (ibu mentua). Saya ikut belajar bahasa Hakka kerana ia digunakan apabila pulang ke kampung suami di Perak,’’ katanya.

Menurut Dr Siti Hajar, beliau juga secara peribadi tidak pernah menghalang suami meneruskan budayanya termasuk menggunakan chopstick ketika makan mahupun menghiasi rumah dengan tanglong ketika perayaan Tahun Baru Cina.  

‘’Kami sekeluarga meraikan setiap perayaan termasuk Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Bagi saya perbezaan agama dan bangsa tiada masalah kerana saya diajar tentang perpaduan kaum sejak dari sekolah lagi.

‘’Apa yang penting jangan bahaskan isu yang menyentuh sensitiviti agama kerana setiap individu menpunyai kepercayaan mereka masing-masing. Sekiranya kita jaga perkara ini, pasti rakyat Malaysia boleh duduk semeja sebagai satu keluarga yang baik,’’ katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan