Penerima zakat di Melaka meningkat 20.1 peratus kepada 10,060 orang 

25/07/2022 01:38 PM

MELAKA, 25 Julai (Bernama) -- Sebanyak 10,060 asnaf fakir, miskin dan mualaf telah diluluskan sebagai penerima agihan zakat di Melaka dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, meningkat 20.1 peratus berbanding 8,375 orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata peningkatan penerima zakat berkenaan adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya kehilangan pekerjaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah kesihatan yang bertambah kronik akibat jangkitan COVID-19 dan kematian ketua keluarga yang merupakan penyumbang utama pendapatan dalam keluarga akibat COVID-19.

"Kerajaan negeri terus komited dalam usaha membantu menyelesaikan masalah dan rintihan rakyat dengan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengurangkan beban yang ditanggung golongan asnaf khususnya dalam isu kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

"Mulai 1 Jan lepas, Bantuan Makanan Bulanan yang diterima golongan asnaf yang mempunyai tanggungan tiga orang dan ke atas akan ditambah sebanyak RM50 kepada RM250 seorang sebulan dan bantuan ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM796,000," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman (BN-Lendu) menjawab soalan dikemukakan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) berkaitan jumlah penerima zakat pada tahun ini berbanding tahun lepas, mengambil kira kesan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

Sulaiman berkata peruntukan bantuan persediaan Ramadan Syawal asnaf Majlis Agama Islam (MAIM) bagi tahun ini juga telah ditambah daripada RM5.33 juta kepada RM7.05 juta dengan jumlah peningkatan peruntukan sebanyak RM1.71 juta manakala bantuan Aidiladha Asnaf MAIM turut ditambah daripada RM1.32 juta kepada RM3.03 juta melibatkan penambahan peruntukan sebanyak RM1.71 juta.

Katanya selain itu, kerajaan negeri sedang mempertimbang untuk menaikkan kadar bayaran elaun pegawai syarak masjid melibatkan jawatan imam, bilal dan noja dan pengumumannya akan dibuat dalam masa terdekat.

Menjawab soalan Adly berkaitan jumlah kutipan zakat oleh Pusat Zakat Melaka, Sulaiman berkata kutipan zakat keseluruhan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak RM64.08 juta, meningkat sebanyak 22.59 peratus berbanding RM52.27 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

"Jumlah pembayar zakat pada tahun ini juga turut meningkat kepada 720,028 orang berbanding 666,023 orang pada tahun lepas, meningkat sebnayak 54,005 orang," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan