Jelajah AKM Terus Perkasa Hubungan Kerajaan, Rakyat

27/07/2022 08:32 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam usaha memulihkan negara ekoran krisis pandemik COVID-19 menjadi tiga teras utama Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos 2021.

Tiga teras utama ini perlu diterapkan dalam jiwa setiap rakyat bagi melahirkan insan berjiwa patriotik serta sayangkan negara menerusi usaha kerajaan menganjurkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di seluruh negara.

Setakat ini, enam siri jelajah berjaya dilaksanakan iaitu di Johor, Perlis, Sabah, Terengganu, Perak, dan terkini di Kelantan dengan rancangan diperluaskan ke negeri lain pada masa akan datang.

Menerusi program jelajah ini, semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat menerima manfaat kerana berpeluang mendapat dan memberikan maklum balas khususnya daripada segi perkhidmatan setiap kementerian serta agensi kerajaan sekali gus mencari titik persamaan dalam meraikan kepelbagaian.

 

PELUANG KERJAYA


Businesswomen from Terengganu Nur Akmal Alias, in JAKM's view, have received encouraging responses, especially from housewives and those who are still looking for job opportunities.

Bagi Nur Akmal Alias yang berasal dari Kampung Binjal, Kemaman, Terengganu, JAKM banyak membantu golongan yang masih tercari-cari hala tuju kerjaya seperti beliau sebelum ini.

Beliau yang pernah memberi ceramah untuk slot 'Dahulu Suri Rumah Kini Usahanita' di pentas utama JAKM Terengganu berkata, program JAKM mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan suri rumah dan mereka yang masih mencari peluang pekerjaan.

"Saya pun dahulu cuma suri rumah, namun demi meningkatkan taraf hidup keluarga maka saya mula berniaga keropok. Ini kerana keropok amatlah popular dan berpotensi tinggi untuk dipasarkan di Terengganu kerana ia sering menjadi buah tangan pelancong dan orang ramai.

"Hasil usaha keras selama tujuh tahun berniaga di Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di Kemaman, sekarang keuntungan perniagaan telah berlipat ganda dengan kini saya mempunyai lima orang pembantu. Ini juga hasil bantuan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang banyak beri sokongan dan bimbingan kepada kami," jelasnya ketika dihubungi menerusi aplikasi Zoom, baru-baru ini. 

Menurut Nur Akmal, perkongsiannya mengenai usaha jerih berniaga keropok memberi kesan positif kepada peserta kerana ramai yang datang menemui beliau untuk mendapatkan petua untuk berjaya dalam perniagaan.


Communications and Multimedia Minister Tan Sri Annuar Musa checking on items for sale such as chicken eggs sold at the Malaysian Family Sales tent. -- fotoBERNAMA (2022) ALL RIGHTS RESERVED

Untuk itu, beliau berpandangan progam JAKM perlu diteruskan bagi membakar semangat semangat orang ramai untuk berani berusaha untuk meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka.

Beliau menambah, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang diadakan setiap kali JAKM diadakan juga menunjukkan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.

Inisiatif ini bertujuan menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022, menerusi peruntukan RM4.8 bilion oleh pihak kerajaan, dengan orang ramai boleh singgah di reruai yang dibuka majikan daripada pelbagai sektor yang turut menyertai karnival tersebut. 

 

BANTU MUDAHKAN RAKYAT


People who are looking for a job can visit the Jamin Kerja Career Carnival in conjunction with the Malaysian Family Aspiration Tour (AKM). -- fotoBERNAMA (2022) ALL RIGHTS RESERVED

Sementara itu, penjawat awam Asma Mansor, 58, pula berkata JAKM  turut memanfaatkan golongan peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang juga menerima impak positif hasil pendedahan dan ruang perniagaan yang disediakan pihak penganjur.

"Seperti JAKM yang diadakan di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar pada 25-27 Mac sebelum ini memang meriah sangat. Selain reruai agensi kerajaan, terdapat juga pelbagai khemah jualan barangan seperti pakaian serta hampir puluhan kendera saji (food truck). Difahamkan lebih 14,000 orang hadir ke karnival ini, dengan hampir 115 gerai jualan. 

"Tidak dinafikan, memang banyak produk tempatan hasil IKS dipamer dan dijual ketika karnival berlangsung, terutamanya produk makanan, minuman dan pakaian. Ini sudah pasti membuka ruang kepada peniaga meneroka bidang baharu di luar negeri ini yang berkemungkinan menyediakan peluang lebih berpotensi, menerusi jalinan kerjasama dan padanan perniagaan," tambahnya. 

Menurut Asma, terdapat pelbagai program lain yang banyak membantu memudahkan rakyat seperti Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan potongan harga sehingga 31 peratus bagi barangan keperluan harian, pemeriksaan kesihatan percuma bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), serta penganjuran pelbagai permainan tradisional dan sukan rakyat. 

Beliau yang sempat hadir pada hari pertama dan terakhir karnival itu turut mendapati kebanyakan jualan bahan mentah seperti daging lembu, ayam dan telur begitu laris dan habis terjual dalam masa yang singkat, sekali gus membuktikan jualan produk seperti itu juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung, khususnya golongan suri rumah. 

Lebih manis, penganjuran JAKM Perlis diadakan pada bulan Ramadan, dengan penganjur turut mengadakan Program Forum Ihya Ramadan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

“Ianya satu usaha murni pihak penganjur bagi memantapkan kefahaman ilmu agama kepada pengunjung beragama Islam khususnya, selain meningkatkan kecintaan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

 

TERUS DEKATI RAKYAT


Assoc Prof Dr Mohd Mahadee Ismail

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Mahadee Ismail berpandangan, pendekatan kerajaan menerusi JAKM bukan sahaja membawa pemimpin utama negara dan negeri turun padang mendekati rakyat, tetapi turut menawarkan pelbagai bentuk khidmat masyarakat yang diperlukan seluruh Keluarga Malaysia.

Pendekatan sedemikian amat tepat dengan konsep ‘aspirasi’ yang memfokuskan keinginan dan pengharapan besar rakyat untuk melihat pemimpin menyelami masalah mereka secara dekat, menyediakan pelbagai bentuk kemudahan, khidmat nasihat dan informasi yang diperlukan.

“Sudah pasti penganjuran program bersifat inklusif ini dengan melibatkan pelbagai sektor awam dan swasta dapat menyediakan kemudahan perkhidmatan secara langsung, selain mengukuhkan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat serta dapat menonjolkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.  

“Pendekatan JAKM tidak hanya menguntungkan usahawan IKS tempatan tetapi juga rakyat dan peserta yang hadir melalui pelbagai bentuk inisiatif seperti Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan tawaran potongan yang harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi pelbagai barangan keperluan harian,” katanya. 

Mohd Mahadee menambah, inisiatif JAKM boleh terus ditambah baik memandangkan ianya masih di peringkat permulaan dan masih belum menyeluruh ke setiap pelusuk negara.

Antaranya, diperluas bukan sekadar satu program bagi setiap negeri dan hanya tertumpu di bandar utama sahaja tetapi lebih bermanfaat sekiranya JAKM dapat dianjurkan di setiap daerah dan kawasan luar bandar dengan pendekatan saiz program yang lebih kecil supaya tidak melibatkan kos penganjuran yang besar.


One of the handicraft entrepreneurs helped his customers choose mengkuang mats at Kelantan's Malaysian Family Aspiration Tour (AKM) program. -- fotoBERNAMA (2022) ALL RIGHTS RESERVED

“Selain itu, JAKM juga perlu melibatkan pelbagai peringkat kepimpinan sama ada di peringkat negara, negeri, parlimen, daerah dan juga kampung, tanpa mengira batasan politik mahupun perbezaan kumpulan etnik serta agama. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, ia lebih menepati konsep keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran,” tambahnya. 

Menurut beliau, JAKM juga boleh melaksanakan pendekatan tradisi seperti ‘satu produk satu kampung’ yang digerakkan dengan lebih bersasar bagi mencapai pembangunan luar bandar yang lebih komprehensif.

Pendekatan tradisi itu tidak hanya menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan dan pasaran yang lebih luas kepada penduduk desa tetapi juga membolehkan masyarakat luar bandar mempunyai akses kepada prasarana dan kemudahan sosial yang bermutu setanding dengan apa yang dinikmati oleh penghuni bandar. 

“JAKM juga perlu menyediakan pelbagai bentuk program khusus bagi golongan rentan seperti Orang Kurang upaya (OKU) dan pesara supaya mereka tidak rasa disisihkan dari pembangunan arus perdana, memandangkan setakat ini ianya dilihat lebih menarik minat kumpulan belia-remaja berbanding kumpulan dari kategori lain,” katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA



 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan