Lotus's Malaysia jayakan sesi masak-memasak, agih makanan kepada individu memerlukan

02/08/2022 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) telah berganding bahu dengan Cadbury Dairy Milk dan Food Aid Foundation untuk menjayakan sesi masak-memasak bagi menyedia serta mengagihkan lebih 500 pek makanan di Lotus’s Cheras di sini hari ini.

Sejumlah 40 sukarelawan memasak kira-kira 80 kilogram bahan yang terdiri daripada ayam, sayur-sayuran dan beras dalam sesi diilhamkan daripada Masak-Masak Ramadan Lotus’s pada April lepas oleh Lotus’s Malaysia bersama Food Aid Foundation.

Makanan itu kemudian diagihkan kepada individu yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah dan rumah kebajikan sekitar Kuala Lumpur iaitu Pangsapuri Indah Mas, Flat Sri Melaka, PJ Caring Home, Yayasan Sunbeam, Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia dan Pusat Transit Gelandangan.

Pengarah Eksekutif Lotus’s Malaysia (Perkhidmatan Korporat) Azliza Azmel memberitahu Bernama bahawa program itu adalah lanjutan daripada usaha #KitakanJiran demi kesejahteraan masyarakat.

“Kami memahami bahawa ramai yang terkesan akibat inflasi dan menjadi lebih berhati-hati dengan perbelanjaan mereka bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

“Sesi masak-memasak ini adalah antara langkah kecil-kecilan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk menghadirkan sedikit kegembiraan dalam kehidupan rakyat dan meringankan beban keluarga B40 dan golongan gelandangan,” katanya yang ditemui selepas program itu.

Pengurus Kanan Pemasaran Cadbury Dairy Milk (Coklat) Ng Boon Siew pula berkata sesi itu bertujuan memberi kembali kepada masyarakat dan pada masa sama, memperluas serta memberi inspirasi tentang kemurahan hati rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Food Aid Foundation Dr Dalphine Ong berkata menu masakan pada sesi itu direka khusus bagi memenuhi keperluan nutrisi penerima kerana mereka berdepan kekangan mendapatkan makanan berkhasiat setiap hari.

Bagi merealisasikan inisiatif itu, Cadbury Dairy Milk melalui kempen #CadburyHuggingBar telah memperkenal kepingan coklat seberat 160 gram yang boleh didapati di premis Lotus’s sebagai menyokong hasrat untuk menyebarkan kebaikan dan kegembiraan.

Semua premis Lotus’s akan menyalurkan RM0.50 kepada Food Aid Foundation bagi setiap pembelian dua produk coklat Cadbury Dairy Milk oleh pelanggan.

Selain itu, 100 pek prihatin bernilai RM100 setiap satu berisi barangan keperluan seperti beras, minyak masak, tepung dan biskut lemak diagihkan kepada penerima sumbangan Food Aid Foundation terdiri daripada mereka yang terpaksa bergelut untuk menyara kehidupan susulan kenaikan harga barang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan