Sate daging wagyu enak, harga berbaloi

09/09/2022 08:43 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Tampil dengan konsep ala-ala sate, wagyu skewer makanan jalanan popular di Jepun yang kini dijual di hadapan pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang di sini mula digilai masyarakat di negara ini.

Menggunakan daging wagyu jenis A5 yang disahkan halal, wagyu skewer memberi kelainan kepada pengunjung untuk merasai sendiri keenakan daging yang paling mahal di pasaran pada harga berpatutan.

Pengurus Pasaraya JONETZ by Don Don Donki, Sivaneswaran berkata daging wagyu produk Jepun yang paling terkenal di pasar raya itu, lazimnya dijual dalam bentuk stik dengan berat melebihi 100 gram sahaja boleh mencecah harga lebih RM100.

''Jadi, kami mula mengambil inisiatif dengan menjual wagyu skewer yang harganya mampu milik sekali gus bertujuan memikat lebih ramai pelanggan di negara ini merasai daging wagyu buatan Jepun, yang merupakan identiti makanan negara matahari terbit itu.

"Itu adalah sebab utama kami (promosi wagyu skewer) selain ia memudahkan pelanggan untuk menikmatinya sebagai hidangan 'mobile food' (boleh dibawa ke mana-mana)," katanya kepada Bernama.

Mula dijual sejak Ramadan lepas, Sivaneswaran berkata wagyu skewer hanya dipanggang dengan menggunakan garam dan lada sebagai perasa bahkan tidak melibatkan sebarang perapan bagi mengekalkan rasa asli daging tersebut.

"Apa yang penting, kami mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dari mula hingga akhir proses pembuatan wagyu skewer termasuklah dari segi cara memotong daging, penggunaan lidi dan memasak.

"Semua perkara itu harus dititikberatkan dan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa agar kualiti wagyu skewer dapat dikekalkan," katanya.

Menurutnya, wagyu skewer yang dijual dalam dua pilihan iaitu biasa dan premium masing-masing dengan harga RM16 dan RM20, mendapat permintaan tinggi selepas tular di media sosial dalam tempoh tiga bulan pertama beroperasi.

"Secara puratanya, kami dapat menjual sehingga 1,500 batang sehari bagi jenis biasa dan 300 batang sehari bagi jenis premium, dengan lebih 300 kilogram seminggu daging wagyu, yang diambil secara terus daripada pembekal setiap hari," katanya yang turut mengetengahkan makanan jalanan itu pada festival tahunan Bon Odori di Shah Alam, baru-baru ini.

Sementara itu, Sivaneswaran berkata makanan yang bersifat universal menjadi elemen penting dalam menghubungkan budaya antara Jepun dan Malaysia. 

"Tujuan kami buat wagyu skewer ini kerana mahu memperkenalkan makanan Jepun kepada masyarakat Malaysia sekali gus mempromosi dan mengeratkan persahabatan antara kedua-dua negara tersebut," katanya.

Seorang pelanggan Syazana Mohd Asrah, 38, dari Kajang yang juga peminat daging wagyu berpandangan harga yang ditawarkan sangat berbaloi dan semua golongan mampu membelinya.

"Semua orang tahu daging wagyu sememangnya harganya mahal dan langkah ini wajar dilakukan agar semua pihak boleh mencuba keenakannya," katanya.

Kesempatan pulang ke tanah air selepas pandemik COVID-19 pula membuka peluang kepada Nadia Malit, 35, dan keluarganya untuk mencari pelbagai jenis makanan viral termasuk wagyu skewer di ibu kota.

"Saya selalu dengar orang kata wagyu skewer ini sedap, jadi hari ini kami ingin mencubanya dan terbukti ia memang sedap dan sangat 'berjus'," katanya yang berhijrah ke Manchester, United Kingdom sejak 12 tahun lepas.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan