JOHOR LAKSANA LIMA INISIATIF RINGANKAN BEBAN MANGSA BANJIR

27/03/2023 03:50 PM

ISKANDAR PUTERI, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan Johor melaksanakan lima inisiatif bagi meringankan beban mangsa banjir di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir akan menerima Bantuan Wang Ihsan Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebanyak RM1,300 yang melibatkan peruntukan RM34.2 juta. 

Katanya pembayaran bantuan itu akan diselesaikan pada penghujung bulan ini, kecuali daerah Batu Pahat dan Segamat yang dijangka selesai pada awal April kerana bilangan penerimanya jauh lebih ramai berbanding daerah lain. 

Selain itu, katanya mangsa banjir diberikan pengecualian RM250 bagi pembayaran penggantian geran yang telah hilang atau hancur.

"Pihak Ranhill SAJ juga telah bersetuju untuk memberikan diskaun sehingga 40 peratus untuk bil air mangsa banjir yang terjejas, bagi Mac dan April tahun ini," katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini. 

Onn Hafiz berkata moratorium pinjaman bagi mangsa banjir sehingga enam bulan turut diberikan seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lepas yang melibatkan hampir semua bank.

Menurutnya inisiatif terakhir adalah Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) sebanyak RM2,500 kepada setiap KIR yang akan mula disalurkan secara berperingkat mulai awal April ini.

Beliau turut menzahirkan junjungan setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang telah mengurniakan peralatan elektrik dan tilam lipat bernilai RM700,000 kepada mangsa banjir. 

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut merakamkan ucapan penghargaan kepada para petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di negeri itu.

Banjir di Johor surut sepenuhnya dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Batu Pahat telah ditutup tengah hari semalam.

Sementara itu, Onn Hafiz mengumumkan kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM20,000 untuk program ketika Ramadan, RM20,000 untuk program sempena Aidilfitri serta RM20,000 menjayakan agenda Johor Bersih kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Semua peruntukan ini akan disalurkan dalam satu minggu. Saya berharap peruntukan ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan bangsa Johor secara keseluruhannya," katanya.

-- BERNAMA

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan