PEROLEH PASPORT KEKAL: SAYA HARGAI KEPUTUSAN MAHKAMAH - AHMAD ZAHID

27/03/2023 09:50 PM

JASIN, 27 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menghargai keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pasport antarabangsa dan diplomatik diperoleh beliau secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

“Ini membolehkan untuk saya melaksanakan tugas-tugas rasmi saya khususnya melibatkan lawatan rasmi dan juga menghadiri mesyuarat atau persidangan di peringkat antarabangsa.

Dan tentunya ini memberikan makna yang cukup baik untuk saya dan saya menghargai keputusan mahkamah khususnya kepada ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan daripada peguam-peguam saya untuk Yang Arif memberi keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pulai, Serkam, di sini hari ini.

Hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berjaya memperoleh pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah membenarkan permohonan  Ahmad Zahid untuk mendapatkan pasport secara kekal selepas berpuas hati bahawa permohonan itu mempunyai merit.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

PERTUBUHAN BERITA NASIONAL MALAYSIA (BERNAMA)
Wisma BERNAMA
No. 28 Jalan BERNAMA,
Off Jalan Tun Razak,
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

+603-2693 9933
helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Berita
Rohani Ramadan
Waktu Berbuka
Video

Ikut Kami

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan